WANG TAK DITUNTUT

WANG TAK DITUNTUT
 
    1. Bilakah wang dalam pertelingkahan (moneys in dispute) di antara pihak-pihak yang mempunyai kepentingan ke atasnya tertakluk kepada Akta Wang Tak Dituntut 1965 ?
      • Wang dalam simpanan entiti hanya menjadi wang tak dituntut sekiranya wang itu kena dibayar di sisi undang-undang tetapi masih tidak dibayar dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut peruntukan Akta.
      • Wang dalam pertelingkahan di antara pihak-pihak yang mempunyai kepentingan ke atasnya hanya akan menjadi kena bayar di sisi undang-undang apabila pertelingkahan tersebut selesai.
      • Selepas itu, wang yang masih tidak dibayar kepada empunya selepas tempoh satu tahun atau satu tempoh masa yang lebih panjang sebagaimana diputuskan, akan menjadi sebagai wang tak dituntut.

 

    1. Bagaimanakah wang dalam akaun simpanan tetap yang mempunyai arahan pembaharuan automatik boleh menjadi wang tak dituntut ?
      • Mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965, wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dalam satu tempoh masa tidak kurang daripada tujuh tahun telah ditafsir sebagai wang tak dituntut.
      • Pengeluaran arahan tetap oleh pemegang akaun boleh diterima oleh institusi kewangan sebagai urusan dikendalikan oleh empunya. Akan tetapi tindakan ke atas arahan tetap itu adalah diambil oleh institusi kewangan dan tindakan itu tidak boleh diterima sebagai urusan dikendalikan oleh empunya.
      • Bagi tujuan perkiraan tempoh masa tujuh tahun sepertimana yang ditetapkan dalam Akta, ianya bermula dari tarikh arahan tetap terakhir yang dikeluarkan oleh pemegang akaun.

 

    1. Apa yang perlu dilakukan oleh entiti jika terdapat kesilapan di dalam Daftar Wang Tak Dituntut (UMA-3) selepas ianya diserahkan kepada Pendaftar ?
      • Jika penyerahan wang tak dituntut itu telah diproses oleh Pendaftar, entiti itu boleh mengemukakan permohonan untuk menuntut balik wang yang tersilap dilaporkan atau keseluruhan penyerahan itu. Bagi membetulkan kesilapan yang berlaku, entiti perlu mengemukakan daftar UMA-3 yang baru.
      • Sekiranya penyerahan tersebut masih belum diproses oleh Pendaftar, entiti berkenaan boleh memohon untuk mendapatkan semula daftar UMA-3 bersama cek bayarannya untuk tujuan pembatalan. Penyerahan UMA-3 yang baru perlu dikemukakan.

 

    1. Siapa yang berkuasa menandatangani borang UMA-3 dan UMA-4 ?
      • Syarikat – Pengarah, setiausaha syarikat, mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa
      • Perbadanan – Mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa
      • Firma – Rakan kongsi, pengurus atau mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa

 

    1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Pendaftar untuk menyedarkan syarikat/firma tentang kehendak Akta Wang Tak Dituntut 1965 ?
      • Selain daripada pemeriksaan entiti dan edaran buku panduan, Pendaftar juga menganjurkan sesi taklimat mengenai peruntukan Akta di pejabatnya dan di semua pejabat negeri Jabatan ini (Jabatan Akauntan Negara Malaysia). Pendaftar turut bersedia menerima jemputan entiti untuk mengendalikan taklimat ini di pejabat mereka.

 

    1. Dimana borang Permohonan Bayaran Balik Wang Tak Dituntut (UMA-7) boleh diperolehi ?
      • Orang awam boleh memperolehi borang UMA-7 daripada pejabat Pendaftar. Borang ini juga boleh diperolehi di semua pejabat negeri Jabatan ini dan di kebanyakan bank-bank perdagangan. Pemohon boleh memuat turun borang ini daripada laman web untuk kegunaan rasmi. (Klik di sini UMA-7)

 

    1. Adakah Pendaftar mengenakan sebarang caj dalam pemprosesan permohonan bayaran balik wang tak dituntut ?
      • Tiada sebarang caj dikenakan. Pendaftar akan membayar balik amaun wang yang diterima olehnya tanpa sebarang faedah diberikan.

 

    1. Adakah had tempoh masa ditetapkan dalam permohonan bayaran balik wang tak dituntut yang telah diserahkan kepada Pendaftar ?
      • Had tempoh masa tidak ditetapkan dalam Akta. Wang dalam simpanan Pendaftar boleh dituntut oleh orang yang mempunyai hak ke atasnya pada bila-bila masa akan datang.

 

    1. Bolehkah seseorang pemohon membuat tuntutan jika dokumen asal yang menunjukkan hak kepunyaan wang tak dituntut itu telah hilang ?
      • Boleh. Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan daripada entiti yang telah menyerahkan wang tak dituntut itu sebagai dokumen sokongan dalam permohonan beliau

 

    1. Bolehkah seseorang individu membuat pertanyaan sama ada beliau mempunyai wang tak dituntut dalam simpanan Pendaftar.
      • Pejabat Pendaftar bersedia membantu jika maklumat asas seperti berikut dapat diberikan oleh pemohon.a) Nama entiti asal yang telah menyimpan wang beliau; dan
        b) Tahun urusan terakhir berlaku dengan entiti berkenaan.
      • Pihak yang benar-benar mempunyai wang tak dituntut akan dapat memberi maklumat yang diperlukan.

 

    1. Adakah Pendaftar melantik agen?
      • Kementerian Kewangan atau Pendaftar Wang Tak Dituntut tidak pernah melantik mana-mana individu/firma/syarikat sebagai orang tengah atau agen untuk urusan tuntutan bayaran balik Wang Tak Dituntut.
      • Sesiapa yang mempunyai Wang Tak Dituntut boleh membuat permohonan bagi bayaran balik terus kepada pejabat Pendaftar Wang Tak Dituntut tanpa sebarang caj /kos dikenakan.
 

KELULUSAN SISTEM

KELULUSAN SISTEM
 
  1. Sistem apakah yang perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Sistem Perakaunan Kerajaan Persekutuan dan bagaimanakah untuk memohon kelulusan tersebut ?
    • Sistem perakaunan kewangan yang perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Sistem Perakaunan Kerajaan Persekutuan adalah merujuk kepada sistem yang melibatkan proses perancangan, pengkosan, pengagihan, perbelanjaan, penerimaan, perakaunan (subsidiari, gaji, aset tetap, pelaburan, pinjaman), pengurusan stor (inventori) dan pelaporan wang awam.
    • Cara untuk memohon kelulusan tersebut ialah dengan memohon kelulusan reka bentuk sistem daripada Bahagian Pembangunan Perakaunan Dan Pengurusan, Seksyen Khidmat Perunding, JANM. Kelulusan ini adalah terpakai selagi tiada perubahan kepada reka bentuk sistem. Kertas permohonan hendaklah merujuk kepada:
      • Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bil. 5 Tahun 2010 – Garis Panduan Permohonan Pembangunan Sistem Perakaunan Kewangan Agensi Kerajaan . Dengan berkuatkuasanya pekeliling ini, maka SPANM Bil.1/1992 dan Bil.5/2004 adalah dibatalkan.
 

POTONGAN CUKAI BULANAN (PCB)

POTONGAN CUKAI BULANAN (PCB)
 

Latar Belakang PCB

  • Akta Cukai Pendapatan 1967 Subseksyen 107 (2).
  • Tujuan PCB dikenakan:
    • Memastikan bayaran PCB adalah sama atau hampir sama dengan cukai sebenar (ke arah final tax).
    • Mengurangkan beban pekerja membayar cukai sekaligus apabila cukai sebenar dikira.
    • Memastikan PCB saraan tambahan tidak melebihi 26% (kadar cukai maksimum individu).
  • Tanggungjawab pekerja kemuka maklumat betul (perenggan 113(1)(b) Akta).
  • Potongan PCB dilakukan secara auto melalui sistem payroll JANM berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Jabatan / Sekolah. Formula perkiraan ini digunakan di semua pejabat JANM seluruh Negara.

Peranan dan Tanggungjawab Jabatan/Sekolah

  • Memastikan maklumat peribadi penjawat awam dikemaskini di Sistem payrol JANM. Semakan boleh dibuat melalui laporan Payroll Master Listing (ZRPY025)
  • Mengedar Borang Mengemaskini Maklumat Peribadi Bagi Tujuan Pengiraan PCB (Lampiran C) kepada pegawai serta menyediakan SG20 berdasarkan maklumat yang diberi oleh pegawai kepada JANM untuk dikemaskini.

Peranan dan Tanggunjawab Pegawai

  • Menyemak maklumat peribadi sedia ada di unit kewangan/gaji Jabatan/Sekolah.
  • Mengemaskini maklumat peribadi dengan menggunakan Borang di Lampiran C serta mengemukakakn dokumen sokongan yang berkaitan seperti sijil nikah, sijil beranak atau surat tawaran kemasukan Institut Pengajian Tinggi.
  • Memahami pengiraan PCB melalui PCB kalkulator seperti yang terdapat di laman web LHDNM http://calcpcb.hasil.gov.my/

Perkara yang diambil kira dalam Pengurangan PCB

  • Memilih pelepasan pasangan untuk taksiran bersama bagi pasangan yang tidak bekerja.
  • Bayaran Zakat.
  • Caruman secara sukarela (Borang KWSP 6A(1))
  • Bilangan tanggungan dan status perkahwinan.

Soalan Lazim

    1. Apabila saya mengunjungi LHDN cawangan terdekat bertanyakan PCB bulanan yang dipotong melalui gaji bulanan, saya mendapati amaun yang sepatutnya dipotong adalah tidak sama seperti yang dikira oleh pihak LHDN, apakah perlu saya lakukan?
      • Perkara ini akan berlaku apabila data yang diberi oleh pegawai kepada pihak LHDN tidak sama dengan data di dalam sistem payroll JANM. Pegawai adalah dinasihatkan untuk mengemaskini maklmat peribadi masing masing dengan mengisi Borang Lampiran C serta mengemukakan dokumen sokongan kepada bahagian Unit Gaji tempat pegawai bertugas bagi membolehkan pihak JANM mengemasikni data tersebut di dalam Sistem Payroll.
      • Pegawai boleh menyemak sama ada data maklumat peribadi yang terdapat di Sistem Payroll JANM telah dikemaskini melalui pejabat atau sekolah masing masing.

 

    1. Apabila saya membandingkan pendapatan yang saya perolehi dengan rakan sekerja yang mendapat jumlah pendapatan yang sama dengan saya, saya dapati PCB yang dipotong melalui gaji bulanan kami adalah berbeza, mengapa perkara ini berlaku?
      • Terdapat beberapa aspek yang menyebabkan perbezaan pengiraan PCB ini berlaku, antaranya adalah status perkahwinan, bilangan tanggungan, jumlah potongan zakat, jumlah caruman KWSP dan sebagainya yang terdapat di dalam sistem payroll JANM bagi seseorang pegawai dengan pegawai yang lain adalah berbeza.
      • Maklumat peribadi yang berbeza antara pegawai akan menyebabkan potongan PCB pegawai berbeza walaupun mendapat jumlah saraan yang sama.

 

    1.  Bolehkah pihak JANM tidak memotong PCB melalui payroll bulanan pegawai?
      • Rujuk kepada subseksyen 107(2) Akta Cukai Pendapatan 1967. Adalah menjadi tanggungjawab majikan memotong PCB daripada saraan setiap pekerja pada setiap bulan mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau Kaedah Pengiraan Berkomputer dan membayar kepada Ketua Pengarah LHDN.
 

PROSEDUR PELUPUSAN DOKUMEN KEWANGAN

PROSEDUR PELUPUSAN DOKUMEN KEWANGAN

  1. Semak rekod lama yang ada di Jabatan.
  2. Asingkan rekod mengikut jenis iaitu kewangan dan bukan kewangan.
  3. Asingkan rekod kewangan mengikut tahun akhir penyelesaian segala urusan.
  4. Semak tempoh simpanan seperti yang telah ditetapkan di Lampiran M - Arahan Perbendaharaan 150, Jadual Pelupusan Rekod Kewangan dan Perakaunan dan Jadual Pemisahan Rekod Jabatan (jika ada).
  5. Menyediakan senarai rekod kewangan dan perakaunan yang hendak dimusnahkan (Borang Kewangan – Arkib 4/08)
  6. Hantar permohonan ke Arkib Negara Malaysia dan Jabatan Audit Negara untuk kebenaran/sokongan.
  7. Dapatkan sokongan lain daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Audit Dalam Kementerian (jika perlu).
  8. Terima surat kebenaran/sokongan daripada agensi/jabatan di atas.
  9. Kemukakan dokumen berikut untuk kelulusan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM):
    • Surat permohonan
    • Senarai rekod kewangan dan perakaunan yang hendak dimusnahkan(Borang Kewangan – Arkib 4/08)
    • Surat kebenaran/sokongan daripada Arkib Negara Malaysia (wajib)
    • Surat kebenaran/sokongan daripada Jabatan Audit Negara (wajib)
    • Surat kebenaran/sokongan SPRM dan Audit Dalam Kementerian (jika ada)
    • Senarai rekod kewangan dan perakaunan yang hendak dimusnahkan(Borang Kewangan – Arkib 4/08)
    • Surat kebenaran/sokongan daripada Arkib Negara Malaysia (wajib)
    • Surat kebenaran/sokongan daripada Jabatan Audit Negara (wajib)
    • Surat kebenaran/sokongan SPRM dan Audit Dalam Kementerian (jika ada)
  10. Terima surat kelulusan daripada JANM. Berdasarkan Piagam Pelanggan Bahagian Pengurusan Audit Dalam (BPAD), kelulusan mesti diberikan dalam masa 10 hari dari tarikh permohonan lengkap diterima.
  11. Lakukan pemusnahan dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh surat kelulusan JANM (samada dijual/bakar/perincih/tanam) seperti yang telah ditetapkan melalui surat Kementerian Kewangan rujukan KB557/97/54 Jd.4(47) bertarikh 3 November 1993.
  12. Kembalikan Borang Penentusahan Pemusnahan Rekod Kewangan dan Perakaunan (Borang Kewangan – Arkib 13/08) ke JANM dalam tempoh satu (1) bulan selepas pemusnahan dilaksanakan.

Rujukan :

  • Arahan Perbendaharaan 150
  • Jadual Pelupusan Rekod Kewangan Dan Perakaunan.

Permohonan bagi memusnahkan rekod kewangan hendaklah dialamatkan kepada :

  • Jabatan Akauntan Negara Malaysia
    Bahagian Pengurusan Audit Dalam
    Tingkat 5 & 6, Lot 2G8B(2M11)
    No. 7, Persiaran Perdana, Presint 2
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62594 WP Putrajaya
  • Telefon : 03-8886 9509/ 9585/ 9587/ 9588/ 9591/ 9711
  • Faks : 03-8886 9561 / 8888 7112
 

 

image