Pengenalan

  1. Institut Perakaunan Negara (IPN) merupakan sebuah pusat kecemerlangan latihan penjawat awam dalam bidang perakaunan dan kewangan. Di samping menganjurkan kursus-kursus perakaunan dan kewangan kepada penjawat awam pelbagai jabatan, IPN juga bersedia membantu Kementerian/Jabatan/Agensi mengenalpasti dan membekal khidmat tenaga pengajar yang bersesuaian bagi sebarang kursus perakaunan dan kewangan dalaman (in-house training).

  2. Garis panduan ini disediakan bertujuan membantu Kementerian/ Jabatan/Agensi penganjur kursus mengemukakan permohonan khidmat tenaga pengajar IPN dan seterusnya melancarkan proses pelantikan pegawai-pegawai yang bersesuaian bagi memenuhi permohonan tersebut.

Garis Panduan

Kementerian/ Jabatan/ Agensi penganjur yang ingin memohon khidmat tenaga pengajar IPN perlu mematuhi perkara-perkara berikut:

 

  1. Peserta Kursus: Permohonan khidmat tenaga pengajar IPN adalah bagi kursus-kursus dalaman bagi tujuan latihan untuk pegawai/kakitangan dalam Kementerian/Jabatan/Agensi itu sahaja. Peserta kursus mestilah bukan daripada luar Kementerian/Jabatan/Agensi penganjur tersebut.

  2. Tempoh ceramah: Permohonan khidmat tenaga pengajar akan dipertimbangkan hanya untuk sesi ceramah dengan tempoh minima empat (4) jam bagi satu hari. Kementerian/Jabatan/Agensi penganjur perlu mengaturkan sendiri khidmat tenaga pengajar bagi mana-mana sesi ceramah sekiranya tempohnya kurang dari 4 jam sehari.

  3. Tempoh Permohonan: Semua permohonan perlu sampai kepada Pengarah IPN selewat-lewatnya sebulan sebelum tarikh kursus. Permohonan yang lewat diterima tidak akan dipertimbangkan.

  4. Kelulusan Permohonan: Pengarah IPN berhak melulus atau menolak mana-mana permohonan khidmat tenaga pengajar oleh Kementerian/Jabatan/Agensi penganjur. Pengarah IPN juga berhak melantik mana-mana pegawai yang bersesuaian sebagai tenaga pengajar bagi memenuhi permohonan Kementerian/ Jabatan/Agensi penganjur.

  5. Kos Penganjuran: Segala kos penganjuran kursus oleh Kementerian/Jabatan/Agensi adalah menjadi tanggungjawab penganjur tersebut termasuk kos berkaitan penceramah seperti bayaran saguhati penceramah, elaun perjalanan kenderaan, penginapan, makan dan kos penyediaan nota ceramah.

  6. Maklumat Kursus: Semua permohonan hendaklah dikemukakan dengan menyatakan maklumat kursus (seperti tajuk, bilangan peserta, gred jawatan peserta, tarikh, tempat) dan maklumat pegawai yang boleh dihubungi (nama, nombor telefon dan alamat e-mel).

Semua permohonan yang lengkap hendaklah dialamatkan kepada :

Pengarah
Institut Perakaunan Negara
Jalan 2, Sg. Lang
45100 Sabak Bernam
Selangor
No. tel : 03-32172000
No. faks : 03-32172021/2120/2140
Laman web : www.ipn.gov.my

Penutup

  1. Garis panduan ini perlu dipatuhi sepenuhnya oleh Kementerian / Jabatan/ Agensi bagi menjamin hasrat meningkatkan kompetensi perakaunan dan kewangan penjawat awam dapat dicapai secara kolektif. Garis panduan ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.

image