1. Apakah sumber rujukan utama SAGA?

a) Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 7 Tahun 2014 - Garis Panduan Permohonan Pembangunan Sistem Perakaunan Kewangan Agensi Kerajaan; dan

b) Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 2 Tahun 2015 – Pelaksanaan, Pemantauan, dan Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan Standard Accounting System For Government Agencies (SAGA).

 

2. Apakah yang dimaksudkan dengan SAGA?

SAGA bermaksud Sistem Perakaunan Dan Kewangan Berkomputer (sama ada yang dibangunkan atau pakej perakaunan di pasaran yang diubah suai) untuk Agensi Kerajaan yang mematuhi semua keperluan Prinsip Perakaunan Diterima Umum (Generally Accepted Accounting Principles) dan kriteria Pematuhan SAGA yang telah ditetapkan oleh JANM.

 

3. Apakah objektif SAGA?

Memastikan penyata kewangan dapat disediakan dengan lebih cepat, tepat, kemaskini dan berintegriti dengan menggunakan kod perakaunan yang ditetapkan bagi memantapkan pengurusan Sistem Perakaunan Dan Kewangan Agensi Kerajaan.

 

4. Siapakah yang perlu membuat permohonan kelulusan reka bentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan?

Agensi Kerajaan iaitu Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Agama Islam perlu membuat permohonan kelulusan reka bentuk Sistem Perakaunan Dan Kewangan sebelum sesuatu sistem dibangunkan.

 

5. Bagaimanakah struktur tadbir urus SAGA?

Struktur tadbir urus SAGA terdiri daripada 2 peringkat iaitu:

 

a) Peringkat Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)

i. Lembaga Perolehan Khas (LPKS) SAGA
ii. Jawatankuasa Pemandu (JKP) SAGA
iii. Jawatankuasa Teknikal (JKT) SAGA
iv. Jawatankuasa Pematuhan SAGA (JKPS)

 

b) Peringkat Kementerian/ SUK dan Agensi

i. Jawatankuasa Pemantau SAGA (Kementerian/ Kerajaan Negeri)
ii. Jawatankuasa Pelaksana SAGA (Agensi)
iii. Pasukan Petugas SAGA (Agensi)

 

6. Apakah tindakan pertama yang perlu diambil oleh agensi untuk membangunkan Sistem Perakaunan dan Kewangan?

Agensi Kerajaan yang ingin membangunkan Sistem Perakaunan dan Kewangan dikehendaki untuk memohon Kelulusan Reka Bentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) sebagaimana yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 7 Tahun 2014 - Garis Panduan Permohonan Pembangunan Sistem Perakaunan Kewangan Agensi Kerajaan.

Permohonan ini perlu melalui dua (2) jawatankuasa di JANM iaitu untuk diperakukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal (JKT) SAGA dan diluluskan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) SAGA.

Permohonan kelulusan reka bentuk hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya tiga (3) minggu sebelum Mesyuarat JKT SAGA diadakan.

 

7. Apakah format permohonan kelulusan reka bentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan yang boleh digunakan oleh Agensi Kerajaan?

Format permohonan kelulusan reka bentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan adalah template yang boleh diperolehi daripada Unit Kelulusan Sistem 2, Bahagian Khidmat Perunding, Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

 

Template permohonan merangkumi maklumat seperti :
1. Tujuan
2. Latar Belakang Agensi
3. Justifikasi Pembangunan Sistem
4. Perbandingan Sistem Perakaunan dan Kewangan Sedia Ada & Baharu
5. Rekabentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan
6. Rekabentuk Infrastruktur ICT
7. Perolehan
8. Pelan Pelaksanaan

 


8. Berapakah tempoh masa yang diambil bagi mendapatkan kelulusan reka bentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia?

Tempoh masa yang diambil adalah dua (2) bulan dari tarikh permohonan lengkap diterima.

 

9. Adakah agensi akan menerima surat dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia selepas cadangan reka bentuk Sistem Kewangan dan Perakaunan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) SAGA?

Ya, surat kepada agensi memaklumkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) SAGA sama ada permohonan diluluskan atau tidak, akan dikeluarkan untuk makluman dan tindakan agensi.

 

10. Adakah kelulusan reka bentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan mempunyai tempoh sah laku?

Kelulusan yang diberikan tiada tempoh sah laku. Walau bagaimanapun, agensi hendaklah mengemukakan permohonan semula sekiranya terdapat perubahan ke atas reka bentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan yang telah diluluskan.

 

11. Bagaimanakah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan kelulusan reka bentuk sistem perakaunan dan kewangan?

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada :

 

Unit Kelulusan Sistem 2,
Seksyen Perundingan Kewangan dan Perakaunan,
Bahagian Khidmat Perunding,
Jabatan Akauntan Negara Malaysia,
Aras 5, Perbendaharaan 2,
Kompleks Kementerian Kewangan,
No.7, Persiaran Perdana,
Presint 2, 62594 PUTRAJAYA

Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

image