Puan Wan Selamah binti Wan Sulaiman, anak kelahiran Muar, Johor dilahirkan pada 18 Disember 1954. Beliau berkelulusan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom.
Puan Wan Selamah mula berkhidmat dengan Kerajaan sejak tahun 1978 dengan pelantikan pertama sebagai Akauntan di Lembaga Peperiksaan sebelum ditukarkan ke Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 1983. Pada tahun 1984, beliau dinaikkan pangkat sebagai Akauntan Kanan di Bahagian Projek Perakaunan, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan seterusnya sebagai Akauntan Gred W2 di Unit Pemodenan Perakaunan JANM. Setelah berkhidmat hampir dua tahun di Unit Pemodenan Perakaunan, Puan Wan Selamah dipindahkan ke Bahagian Pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pencen JANM selama hampir 8 tahun sebelum ditukarkan ke Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat JANM mulai tahun 2000. Mulai tahun 2004, Puan Wan Selamah dilantik menjadi Pengarah Seksyen Khidmat Perunding, JANM sehingga 1 Oktober 2006. Seterusnya beliau telah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perkhidmatan Operasi Pusat dan Agensi JANM mulai 2 Oktober 2006 sehingga 15 Disember 2009. Pada 16 Disember 2009, beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Akauntan Negara (Korporat).
Akhirnya, Puan Wan Selamah mendapat mandat untuk menerajui Jabatan Akauntan Negara sebagai Akauntan Negara Malaysia mulai 29 November 2010 sehingga sekarang. Pada masa kini, Puan Wan Selamah merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa ACCA Malaysia Advisory Committee (MAC), Ahli Jawatankuasa Pelaburan Amanah Raya Berhad (ARB) dan Ahli Lembaga Pengarah JKP Sdn Bhd dan telah dikurniakan pingat Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Berbilang (BSK) pada tahun 2010.

|