Buat julung kalinya Program Nadi (Navigasi Aspirasi Dialog Insani) Siri Utara telah berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos 2026. Program ini bermula di negeri Kedah pada 2 Ogos 2026, Perlis pada 3 Ogos 2026 dan Pulau Pinang pada 4 Ogos 2026.
Penganjuran program atas cetusan idea Akauntan Negara Malaysia, YBrs. Tuan Haji Nasran bin Omar, ini mencerminkan komitmen dan aspirasi beliau untuk memperkukuh hubungan silaturahim, menyemai semangat kebersamaan serta memupuk budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan seluruh warga JANM.
Melalui komponen Navigasi Aspirasi, program ini bertujuan menyelaras hala tuju strategik organisasi dengan memastikan setiap warga perakaunan memahami, menghayati dan mampu menterjemahkan visi, misi serta agenda transformasi pengurusan perakaunan dan kewangan negara dalam pelaksanaan tugas harian. Manakala menerusi Dialog Insani, program ini menyediakan ruang komunikasi dua hala yang terbuka, inklusif dan berteraskan nilai keinsanan.
