Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
fb ikon  ig ikon  utube ikon  rss ikon
faq hubungi-kamiaduan   peta-laman
 
Info Galeri Media Video Soalan Lazim
  • Apakah Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan (PKKP)?

    Apakah Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan (PKKP)?

    PKKP adalah dokumen rasmi  berbentuk penyata yang disediakan oleh Akauntan Negara Malaysia mengikut kehendak seksyen 16(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] dan diaudit oleh Ketua Audit Negara sebelum dibentang di parlimen mengikut kehendak Seksyen 16(2) Akta yang sama.

  • Apakah objektif penyediaan PKKP?

    Apakah objektif penyediaan PKKP?

    PKKP disediakan bertujuan untuk menunjukkan kedudukan kewangan, aliran wang tunai dan prestasi kewangan. Penyata ini melaporkan transaksi kewangan berkaitan punca dan penggunaan sumber kewangan seperti yang telah diperuntukkan oleh Parlimen bagi tahun kewangan.

  • Bagaimana PKKP disediakan?

    Bagaimana PKKP disediakan?

    PPKP disediakan mengikut format yang ditetapkan di bawah Piawaian Perakaunan Kerajaan (PKK) bertujuan untuk menetapkan dasar dan piawaian perakaunan serta asas persembahan penyata kewangan tahunan yang perlu dipatuhi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.   

    Selain itu, PKKP disediakan dengan mengambil kira aspek persembahan yang benar dan saksama serta pematuhan kepada piawaian perakaunan kerajaan. Kesaksamaan dalam persembahan penyata kewangan kerajaan mewajibkan:

    1. Pemakaian secara konsisten dasar, prinsip dan andaian perakaunan kerajaan yang telah ditetapkan dalam PPK
    2. Persembahan maklumat yang relevan termasuk andaian-andaian dalam perakaunan, boleh dipercayai, boleh dibandingkan dan mudah difahami;
    3. Pendedahan maklumat material jika ada.

    Buat masa ini, PKKP yang disediakan adalah berdasarkan perakaunan Asas Tunai Ubahsuai iaitu satu kaedah perakaunan yang mengiktiraf dan merekod sesuatu urus niaga apabila tunai diterima atau dibayar dalam tempoh perakaunan tersebut. Di bawah kaedah ini, perbelanjaan aset tidak dipermodalkan dan liabiliti tidak dilaporkan di dalam penyata kewangan, segala perbelanjaan akan menggunakan peruntukan tahun semasa dan pembayaran dibuat sehingga bulan Januari tahun berikutnya.

  • Bilakah PKKP disediakan?

    Bilakah PKKP disediakan?

    PKKP disediakan pada setiap Tahun Kewangan. Tempoh Tahun Kewangan Kerajaan adalah bagi dua belas bulan berakhir 31 Disember setiap tahun.

  • Apakah komponen dalam PKKP?

    Apakah komponen dalam PKKP?

    Persembahan PKKP mengandungi tujuh (7) komponen berikut:

      1. Pernyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan / Pegawai Kewangan Negeri dan Akauntan Negara Malaysia / Bendahari Negeri / Akauntan Negeri
        Pernyataan ini mengesahkan ketepatan dan kesahihan Penyata Kewangan Kerajaan yang disediakan mengikut kehendak Seksyen 16(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] dan International Public Sector Accounting Standard (IPSAS) – Financial Reporting Under The Cash Basis of Accounting.
      2. Laporan Akauntan Negara Malaysia / Akauntan Negeri / Bendahari Negeri
        Laporan ini mengandungi analisis dan ringkasan kedudukan prestasi pengurusan kewangan dan akaun kerajaan bagi tahun kewangan berkenaan.
      3. Penyata Kedudukan Kewangan
        Penyata ini menunjukkan pegangan Wang Awam Kerajaan di bawah Kumpulan Wang Disatukan. Wang Awam Kerajaan terdiri daripada wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi Kumpulan Wang Disatukan melalui Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan.
          1. Wang Awam 
              1. Wang Tunai
                Wang Tunai dinyatakan dalam tiga kategori iaitu:
                1. Wang Tunai Dalam Bank
                  Wang Tunai Dalam Bank terdiri daripada baki akaun semasa dan akaun lain yang dikhaskan untuk tujuan tertentu, termasuk simpanan tetap di institusi kewangan bagi tempoh tiga (3) bulan atau kurang.
                2. Wang Tunai Dalam Perjalanan
                  Wang Tunai Dalam Perjalanan terdiri daripada wang tunai belum dibankkan dan wang tunai dalam bank yang belum diambil kira dalam buku tunai pejabat perakaunan pada akhir tahun kewangan.
                3. Wang Tunai Dalam Tangan
                  Wang Tunai Dalam Tangan adalah baki Panjar Wang Runcit.
              2. Pelaburan
                • Pelaburan terdiri daripada:
                  1. Pelaburan Kumpulan Wang Amanah
                    Pelaburan Kumpulan Wang Amanah adalah pelaburan yang dibuat dari Kumpulan Wang Amanah selaras dengan Surat Ikatan Amanah (Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]), Arahan Amanah (Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]) dan juga peraturan yang berkuatkuasa.
                  2. Pelaburan Am
                    Pelaburan Am adalah semua pelaburan yang dibuat daripada lebihan Kumpulan Wang Disatukan selain dari Pelaburan Kumpulan Wang Amanah. Pelaburan ini juga termasuk urus niaga penukaran seperti pinjaman kepada aset pelaburan.
                • Simpanan Tetap melebihi tempoh tiga (3) bulan dikategorikan sebagai pelaburan.

        Kumpulan Wang Disatukan

        Mengikut Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61], tiga akaun berasingan disenggarakan di bawah Kumpulan Wang Disatukan iaitu:

              • Akaun Hasil Disatukan
              • Akaun Pinjaman Disatukan
              • Akaun Amanah Disatukan
              1. Akaun Hasil Disatukan
                Akaun Hasil Disatukan mengakaun semua terimaan serta Perbelanjaan Mengurus Kerajaan kecuali terimaan bagi pinjaman dan amanah.
                1. Hasil
                  Terimaan hasil diakaunkan secara jumlah kasar ke dalam Akaun Hasil, kecuali diperuntukkan sebaliknya oleh mana-mana undang-undang. Hasil diklasifikasikan mengikut jenis iaitu:-
                  • Hasil Cukai
                  • Hasil Bukan Cukai
                  • Terimaan Bukan Hasil
                  • Hasil Wilayah Persekutuan
                1. Perbelanjaan Mengurus
                  Perbelanjaan Mengurus terdiri daripada Perbelanjaan Tanggungan dan Perbelanjaan Bekalan. Perbelanjaan tersebut diakaunkan dalam Akaun Hasil Disatukan menurut peruntukan Perkara   98, 100, 101, 102 dan 104 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 13 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].
                  • Perbelanjaan Tanggungan
                    Perbelanjaan Tanggungan adalah perbelanjaan khusus yang diperuntukkan mengikut Perkara 98 Perlembagaan Persekutuan.
                  • Perbelanjaan Bekalan
                    Perbelanjaan Bekalan ialah perbelanjaan yang diperuntukkan mengikut Perkara 100 dan 101 Perlembagaan Persekutuan.
              1. Akaun Pinjaman Disatukan
                Akaun Pinjaman Disatukan dinyatakan mengikut dua (2) kategori iaitu Pinjaman dan Bantuan Luar Negeri.
                  1. Pinjaman terdiri daripada:
                    • Pinjaman Dalam Negeri
                    • Pinjaman Luar Negeri
                    • Pinjaman bagi membiayai Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan
                  2. Bantuan Luar Negeri terdiri daripada:
                    • Pinjaman Multilateral
                    • Pinjaman Bilateral
              2. Akaun Amanah Disatukan
                Akaun Amanah Disatukan mengakaun terimaan dan bayaran  berikut:    
                  1. Semua wang yang diterima dan dibayar oleh mana-mana Kumpulan Wang Amanah mengikut terma dan peraturan yang dinyatakan dalam Surat Ikatan Amanah mengikut (Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]).
                  2. Apa-apa wang pelbagai yang diamanahkan kepada seseorang pegawai awam tertakluk kepada kuasa yang diberi melalui Arahan Amanah (Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]) dan termasuklah penerimaan dan pembayaran wang deposit. Akaun Amanah Disatukan dikategorikan seperti berikut :-
                    1. Kumpulan Wang Amanah Kerajaan
                      Kumpulan Wang Amanah Kerajaan di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] terdiri daripada:
                      • Kumpulan Wang Pembangunan Kumpulan Wang Pembangunan mengakaun terimaan dan perbelanjaan pembangunan mengikut Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406]. Terimaan bagi Kumpulan Wang ini terdiri daripada pindahan dari Akaun Pinjaman Disatukan, caruman dari Akaun Hasil Disatukan, Terimaan Balik Pinjaman dan Pelbagai Terimaan.
                      • Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan mengakaun terimaan dan bayaran berkaitan dengan kemudahan pinjaman perumahan kepada kakitangan perkhidmatan awam, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan serta kepada ahli Pentadbiran, Perundangan dan Kehakiman mengikut Akta Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan 1971 [Akta 42].
                      • Pelbagai Kumpulan Wang Amanah Kerajaan Kumpulan Wang Amanah Kerajaan yang ditubuhkan untuk sesuatu tujuan khas dan disenaraikan di Jadual Kedua dan Ketiga Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].
                    2. Kumpulan Wang Amanah Awam Kumpulan Wang Amanah Awam terdiri daripada Amanah Khas dan Amanah Am yang mengakaun terimaan dan bayaran bagi maksud tertentu mengikut akta khas tertentu atau Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].
                    3. Akaun Deposit Akaun Deposit terdiri daripada Deposit Am dan Deposit Pelarasan. Deposit Am mengakaun wang yang diterima khusus bagi sesuatu maksud di bawah undang-undang atau perjanjian dan dibayar balik apabila maksud tersebut telah dicapai. Deposit Pelarasan adalah akaun sementara yang diguna sebelum bayaran dibuat atau pelarasan kepada akaun tertentu.
      4. Penyata Penerimaan Dan Pembayaran Wang Tunai
        1. Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai menunjukkan aliran masuk dan aliran keluar tunai dan kesetaraan tunai. Kesetaraan tunai merupakan pelaburan untuk tempoh tiga (3) bulan atau kurang yang mudah ditukar kepada wang tunai.
        2. Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai terdiri daripada:
          1. Terimaan Aliran masuk terimaan utama kerajaan adalah terdiri daripada hasil, pinjaman, bantuan luar negeri, terimaan modal dan terimaan lain.
          2. Bayaran Aliran keluar bayaran utama kerajaan adalah terdiri daripada perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan, perbelanjaan modal, bayaran balik pinjaman, bayaran balik bantuan luar negeri dan bayaran lain. 
        1. Penyata Prestasi Kewangan
          Penyata ini menunjukkan lebihan atau kurangan hasil keseluruhan berbanding jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan serta sumber pembiayaannya. Penyata ini juga menunjukkan pergerakan dana dalam Pinjaman dan Bantuan Luar Negeri, Terimaan Balik Pinjaman dan Pelbagai Terimaan serta Perubahan Tunai, Pelaburan dan Amanah. 
        1. Penyata Akaun Memorandum
          Penyata ini menunjukkan sebahagian aset kewangan kerajaan dan liabiliti kerajaan yang tidak dinyatakan di dalam Penyata Kedudukan Kewangan.
          1. Memorandum Aset Memorandum Aset terdiri daripada Pinjaman Boleh Dituntut dan Pelaburan yang dikenakan kepada Perbelanjaan Mengurus atau Perbelanjaan Pembangunan.
          2. Memorandum Liabiliti Memorandum Liabiliti dinyatakan dalam dua kategori iaitu  Hutang Awam dan Pelbagai Liabiliti. Hutang Awam terdiri daripada Pinjaman Dalam dan Luar Negeri, Pinjaman bagi Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan dan Bantuan Luar Negeri. Pelbagai Liabiliti terdiri daripada Nota Kena Bayar, Sekuriti Tak Dituntut dan Akaun Depositori Pusat.
        1. Nota Kepada Penyata Kewangan
          1. Nota Kepada Penyata Kewangan merupakan sebahagian daripada penyata kewangan kerajaan. Nota ini memberi penerangan dan maklumat terperinci mengenai amaun yang ditunjukkan dalam Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan,  Penyata Akaun Memorandum dan juga maklumat tambahan seperti peristiwa yang berlaku selepas tarikh Penyata Kedudukan Kewangan dan angka perbandingan.
          2. Nota ini antaranya mengandungi maklumat mengenai:
            1. Dasar dan Prinsip Perakaunan
            2. Persembahan Penyata Kewangan Kerajaan
            3. Wang Tunai
            4. Pelaburan
            5. Akaun Hasil Disatukan
            6. Akaun Pinjaman Disatukan
            7. Akaun Amanah Disatukan
            8. Memorandum Aset
            9. Memorandum Liabiliti
            10. Liabiliti Luar Jangka
            11. Akaun Belum Terima
            12. Wang Pendahuluan Kepada Kontraktor
          3. Lampiran Kepada Nota terdiri daripada:
            1. Lampiran 1 - Penyata Perbelanjaan Mengurus
            2. Lampiran 2 - Penyata Perbelanjaan Pembangunan
            3. Lampiran 3 - Penyata Akaun Memorandum Pinjaman Boleh Dituntut
            4. Lampiran 4 - Penyata Akaun Memorandum Pelaburan
            5. Lampiran 5 - Penyata Akaun Memorandum Jaminan Berkanun

Muat Turun

  1. Semak rekod tidak aktif atau tamat tindakan yang ada di Jabatan.
  2. Asingkan rekod mengikut jenis iaitu rekod kewangan dan bukan kewangan.
  3. Asingkan rekod kewangan mengikut tahun akhir penyelesaian segala urusan.
  4. Semak tempoh simpanan seperti yang telah ditetapkan di Lampiran M - Arahan Perbendaharaan 150, Jadual Pelupusan Rekod Kewangan dan Perakaunan dan Jadual Pelupusan Rekod Jabatan (jika ada).
  5. Menyediakan senarai rekod kewangan dan perakaunan yang hendak dimusnahkan (Borang Kewangan Arkib 4/2008 - Borang Permohonan Bagi Pemusnahan Rekod Kewangan dan Perakaunan).
  6. Hantar permohonan ke Arkib Negara Malaysia dan Jabatan Audit Negara untuk kebenaran / sokongan.
  7. Dapatkan sokongan lain daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Audit Dalam Kementerian (jika perlu).
  8. Terima surat kebenaran / sokongan daripada agensi / Jabatan di atas.
  9. Surat Permohononan Pemusnahan Rekod Kewangan dan Perakaunan bersama dokumen lengkap hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Perakaunan masing-masing.
    Pejabat Perakaunan adalah merujuk kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Negeri/ Cawangan dan Bahagian Akaun Kementerian bagi Kerajaan Persekutuan. Manakala bagi Kerajaan Negeri merujuk kepada Pejabat Bendahari Negeri/ Akauntan Negeri.
    Senarai dokumen yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut:
    • Surat permohonan
    • Senarai rekod kewangan dan perakaunan yang hendak dimusnahkan (Borang Kewangan Arkib 4/2008 - Borang Permohonan Bagi Pemusnahan Rekod Kewangan dan Perakaunan).
    • Surat kebenaran / sokongan daripada Arkib Negara Malaysia (wajib).
    • Surat kebenaran / sokongan daripada Jabatan Audit Negara (wajib).
    • Surat kebenaran / sokongan SPRM dan Audit Dalam Kementerian (jika ada).
  10. Terima surat kelulusan daripada Pejabat Perakaunan. Berdasarkan kepada Key Performance Indicators (KPI) Pejabat Perakaunan, kelulusan permohonan dalam tempoh 10 hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima.
  11. Tindakan pemusnahan rekod kewangan dan perakaunan secara fizikal mesti dibuat dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh surat kebenaran Arkib Negara Malaysia. Surat Kebenaran daripada Ketua Audit Negara dan surat kelulusan daripada Akauntan Negara Malaysia mestilah diperolehi dalam tempoh tiga (3) bulan tersebut.
  12. Kembalikan Borang Penentusahan Pemusnahan Rekod Kewangan dan Perakaunan (Borang Arkib 13/08) kepada Arkib Negara Malaysia, Jabatan Audit Negara dan Pejabat Perakaunan dalam tempoh satu (1) bulan daripada tarikh pemusnahan dilaksanakan.

Rujukan :

  1. Arahan Perbendaharaan 150.
  2. Jadual Pelupusan Rekod Kewangan dan Perakaunan.
  • Latar Belakang PCB

    Akta Cukai Pendapatan 1967 Subseksyen 107 (2). Tujuan PCB dikenakan:

    1. Satu mekanisme potongan cukai pendapatan yang dibuat oleh majikan daripada saraan bulanan semasa pekerja mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau kaedah-kaedah lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah (selepas ini dirujuk sebagai “Kaedah Pengiraan Berkomputer”) menurut yang diperuntukkan di bawah Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan daripada Saraan) 1994 (Kaedah PCB).
    2. Potongan ini bertujuan untuk mengurangkan beban pekerja membayar cukai sekaligus apabila cukai dikira.
    3. Tanggungjawab pekerja untuk mengemukakan maklumat betul (perenggan 113(1)(b) Akta).

    Potongan PCB dilakukan secara automatik melalui sistem Pengurusan Gaji JANM berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Jabatan/Sekolah. Formula perkiraan ini digunakan di semua pejabat JANM seluruh Negara.

  • Peranan dan Tanggungjawab Jabatan/Sekolah

    Memastikan maklumat peribadi penjawat awam dikemaskini di sistem Pengurusan Gaji JANM. Semakan boleh dibuat melalui laporan Payroll Master Listing (ZRPY025). Mengedar Borang Mengemaskini Maklumat Peribadi Bagi Tujuan Pengiraan PCB (Lampiran A) kepada pegawai serta menyediakan SG20 berdasarkan maklumat terkini yang diberi oleh pegawai kepada JANM.

  • Peranan dan Tanggungjawab Pegawai
    1. Menyemak maklumat peribadi sedia ada di Unit Kewangan/Gaji Jabatan/Sekolah.
    2. Mengemaskini maklumat peribadi dengan menggunakan Borang di Lampiran A serta mengemukakakn dokumen sokongan yang berkaitan seperti sijil nikah, sijil beranak atau surat tawaran kemasukan Institut Pengajian Tinggi.
    3. Memahami pengiraan PCB melalui PCB kalkulator seperti yang terdapat di laman web LHDNM http://calcpcb.hasil.gov.my/.
  • Perkara yang diambil kira dalam Pengurangan PCB
    1. Memilih pelepasan pasangan untuk taksiran bersama bagi pasangan yang tidak bekerja.
    2. Bayaran Zakat.
    3. Caruman secara sukarela (Borang KWSP 6A(1)).
    4. Bilangan tanggungan dan status perkahwinan.
  • Soalan Lazim

    Apabila saya mengunjungi LHDN cawangan terdekat bertanyakan PCB bulanan yang dipotong melalui gaji bulanan, saya mendapati amaun yang sepatutnya dipotong adalah tidak sama seperti yang dikira oleh pihak LHDN, apakah perlu saya lakukan?

    Perkara ini akan berlaku apabila data yang diberi oleh pegawai kepada pihak LHDN tidak sama dengan data di dalam sistem Pengurusan Gaji JANM. Pegawai adalah dinasihatkan untuk mengemaskini maklumat peribadi masing masing dengan mengisi Borang Mengemaskini Maklumat Peribadi Bagi Tujuan Pengiraan PCB (Lampiran A) serta mengemukakan dokumen sokongan kepada Unit Kewangan/Gaji tempat pegawai bertugas bagi membolehkan pihak JANM mengemasikini data tersebut di dalam sistem Pengurusan Gaji. Pegawai boleh menyemak sama ada data maklumat peribadi yang terdapat di sistem Pengurusan Gaji telah dikemaskini melalui pejabat atau sekolah masing-masing.

    Apabila saya membandingkan pendapatan yang saya perolehi dengan rakan sekerja yang mendapat jumlah pendapatan yang sama dengan saya, saya dapati PCB yang dipotong melalui gaji bulanan kami adalah berbeza, mengapa perkara ini berlaku?

    Terdapat beberapa aspek yang menyebabkan perbezaan pengiraan PCB ini berlaku, antaranya adalah status perkahwinan, bilangan tanggungan, jumlah potongan zakat, jumlah caruman KWSP dan sebagainya yang terdapat di dalam sistem Pengurusan Gaji JANM bagi seseorang pegawai dengan pegawai yang lain adalah berbeza. Maklumat peribadi yang berbeza antara pegawai akan menyebabkan potongan PCB pegawai berbeza walaupun mendapat jumlah saraan yang sama.

    Bolehkah pihak JANM tidak memotong PCB melalui gaji bulanan pegawai?

    Rujuk kepada subseksyen 107(2) Akta Cukai Pendapatan 1967. Adalah menjadi tanggungjawab majikan memotong PCB daripada saraan setiap pekerja pada setiap bulan mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau Kaedah Pengiraan Berkomputer dan membayar kepada Ketua Pengarah LHDN.

     Adakah saya layak dikenakan cukai?

    Individu perlu mendaftar nombor cukai pendapatan sekiranya:

      • Individu berstatus bujang yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM34,001 setahun (selepas potongan KWSP)
      • Individu berkahwin dan pasangan tidak bekerja yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM46,001 setahun
      • Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun perniagaan mengalami kerugian)
      • Pekerja baharu yang dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB)
      • Individu yang mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai
      • Individu yang menjual/membeli hartanah

    Apakah yang dimaksudkan dengan saraan tambahan?

    Saraan tambahan merupakan saraan yang diterima selain daripada saraan bulanan biasa (Bonus, Tunggakan, Komisen, Ganjaran, Pampasan, Yuran pengarah, Bayaran kerja lebih masa (OT) dan Lain-lain)

    Saya mendapat kenaikan gaji tahunan sebanyak RM155 pada bulan Oktober, kenapa PCB saya naik mendadak?

    Biasanya ini adalah kes borderline dari kadar cukai 3% ke 6%. Ini menyebabkan kenaikan PCB pada bulan tersebut dan kadar cukai akan kekal 6% pada bulan-bulan seterusnya sekiranya tiada perubahan saraan, potongan dan rebat.

    Rebat Cukai Individu sebanyak RM400 juga tidak layak setelah kadar cukai berubah ke 6%. Sila rujuk Jadual Kadar Cukai Pendapatan di portal LHDN https://www.hasil.gov.my/individu/kitaran-cukai-individu/lapor-pendapatan/kadar-cukai/ .

    Apakah maksud CP38?

    PCB merupakan potongan cukai berdasarkan Jadual PCB ke atas saraan pekerja yang layak dan diremitkan ke LHDNM setiap bulan, manakala potongan CP38 pula hanya boleh dilakukan sekiranya LHDNM telah mengeluarkan arahan khusus kepada majikan supaya membuat potongan untuk amaun tertentu dalam bulan-bulan yang tertentu.  Potongan CP38 adalah untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak manakala PCB adalah untuk membayar anggaran cukai bagi taksiran tahun semasa.

     


Muat Turun


Muat Turun

  • Penyelenggaraan Laporan Kewangan Dan Perakaunan

    Sila klik disini untuk muat turun soalan lazim dan lampiran Penyelenggaraan Laporan Kewangan Dan Perakaunan    

     

  • SPANM Bil. 1 Tahun 2020


    Sila klik disini untuk muat turun soalan lazim SPANM Bil. 1 Tahun 2020

  • A. MAKLUMAT AM
    1. Bilakah wang dalam pertelingkahan (moneys in dispute) di antara pihak-pihak yang mempunyai kepentingan ke atasnya tertakluk kepada Akta Wang Tak Dituntut 1965 ?

      Wang dalam simpanan entiti hanya menjadi wang tak dituntut sekiranya wang itu kena dibayar di sisi undang-undang tetapi masih tidak dibayar dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut peruntukan Akta. Wang dalam pertelingkahan di antara pihak-pihak yang mempunyai kepentingan ke atasnya hanya akan menjadi kena bayar di sisi undang-undang apabila pertelingkahan tersebut selesai. Selepas itu, wang yang masih tidak dibayar kepada empunya selepas tempoh satu tahun atau satu tempoh masa yang lebih panjang sebagaimana diputuskan, akan menjadi sebagai wang tak dituntut.
    2. Bagaimanakah wang dalam akaun simpanan tetap yang mempunyai arahan pembaharuan automatik boleh menjadi wang tak dituntut ?

      Mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965, wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dalam satu tempoh masa tidak kurang daripada tujuh tahun telah ditafsir sebagai wang tak dituntut. Pengeluaran arahan tetap oleh pemegang akaun boleh diterima oleh institusi kewangan sebagai urusan dikendalikan oleh empunya. Akan tetapi tindakan ke atas arahan tetap itu adalah diambil oleh institusi kewangan dan tindakan itu tidak boleh diterima sebagai urusan dikendalikan oleh empunya. Bagi tujuan perkiraan tempoh masa tujuh tahun sepertimana yang ditetapkan dalam Akta, ianya bermula dari tarikh arahan tetap terakhir yang dikeluarkan oleh pemegang akaun.
    3. Apa yang perlu dilakukan oleh entiti jika terdapat kesilapan di dalam Daftar Wang Tak Dituntut (UMA-3) selepas ianya diserahkan kepada Pendaftar ?

      Jika penyerahan wang tak dituntut itu telah diproses oleh Pendaftar, entiti itu boleh mengemukakan permohonan untuk menuntut balik wang yang tersilap dilaporkan atau keseluruhan penyerahan itu. Bagi membetulkan kesilapan yang berlaku, entiti perlu mengemukakan daftar UMA-3 yang baru. Sekiranya penyerahan tersebut masih belum diproses oleh Pendaftar, entiti berkenaan boleh memohon untuk mendapatkan semula daftar UMA-3 bersama cek bayarannya untuk tujuan pembatalan. Penyerahan UMA-3 yang baru perlu dikemukakan.
    4. Siapa yang berkuasa menandatangani borang UMA-3 dan UMA-4 ?
      • Syarikat - Pengarah, setiausaha syarikat, mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa
      • Perbadanan - Mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa
      • Firma - Rakan kongsi, pengurus atau mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa
    5. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Pendaftar untuk menyedarkan syarikat/firma tentang kehendak Akta Wang Tak Dituntut 1965 ?

      Selain daripada pemeriksaan entiti dan edaran buku panduan, Pendaftar juga menganjurkan sesi taklimat mengenai peruntukan Akta di pejabatnya dan di semua pejabat negeri Jabatan ini (Jabatan Akauntan Negara Malaysia). Pendaftar turut bersedia menerima jemputan entiti untuk mengendalikan taklimat ini di pejabat mereka.
  • B. SERAHAN WANG TAK DITUNTUT
    1. Apakah Kod Entiti dan bagaimanakah cara untuk memohon Kod Entiti? Kod Entiti ialah nombor unik yang dijana oleh Pendaftar WTD untuk setiap syarikat/ firma yang didaftarkan bagi tujuan serahan WTD. Syarikat/firma perlu melengkapkan dan menghantar Borang UMA-1 (Pin.1/2018) bagi mendapatkan Kod Entiti.
    2. Adakah syarikat/firma perlu memohon Kod Entiti yang baru setiap kali membuat serahan WTD? Tidak, syarikat/firma perlu menggunakan Kod Entiti yang sama setiap kali membuat serahan WTD.
    3. Adakah syarikat/firma perlu melengkapkan Borang UMA-1 (Pin.1/2018) setiap kali membuat serahan WTD? Tidak, syarikat/firma hanya perlu melengkapkan dan menghantar Borang UMA-1 (Pin.1/2018) jika terdapat sebarang perubahan maklumat syarikat/firma atau perubahan maklumat pegawai yang diberikuasa membuat serahan WTD. Syarikat/firma perlu menghantar satu (1) salinan Borang Perubahan Nama Syarikat/Firma (Borang 13 SSM) jika terdapat pertukaran nama syarikat/ firma. Borang UMA-1 (Pin.1/2018) hendaklah dilengkapkan secara cetakan komputer dan ditandatangan. Tulisan tangan adalah tidak dibenarkan.
    4. Siapakah yang layak menandatangani Borang UMA-1 (Pin.1/2018)? Borang UMA-1 (Pin.1/2018) hendaklah ditandatangani oleh Pengarah (Director) atau Pengurus Besar (General Manager) atau mana-mana pegawai tertinggi di dalam syarikat/firma.
    5. Bolehkah syarikat/firma menggunakan tandatangan digital atau tandatangan cetakan komputer bagi menandatangani Borang UMA-1 (Pin.1/2018) dan Borang UMA-4 (Pin.1/2018) yang dihantar kepada Pendaftar WTD? Syarikat/firma tidak dibenarkan menggunakan tandatangan digital atau tandatangan cetakan computer bagi menandatangani satu (1) salinan Borang UMA-1 (Pin.1/2018) dan dua (2) salinan Borang UMA-4 (Pin.1/2018).
    6. Bolehkah syarikat/firma menandatangani satu (1) salinan borang UMA-4 (Pin.1/2018) dan membuat salinan fotokopi? Dua (2) salinan asal Borang UMA-4 (Pin.1/2018) hendaklah ditandatangani dan dihantar kepada Pendaftar WTD. Salinan fotokopi adalah tidak dibenarkan.
    7. Adakah syarikat/ firma perlu mengemukakan Borang UMA-3? Tidak, Borang UMA-3 tidak digunapakai berkuatkuasa mulai 01.01.2018.
    8. Apakah yang dimaksudkan dengan Daftar WTD? Daftar WTD merupakan fail dalam format MsExcel yang perlu disediakan mengikut panduan yang ditetapkan oleh Pendaftar WTD.
    9. Bolehkah semua jenis WTD direkodkan dalam Daftar WTD (Excel) yang sama? Semua jenis wang tak dituntut boleh direkodkan dalam Daftar WTD (Excel) yang sama.
    10. Apakah yang perlu dilakukan oleh syarikat/firma sekiranya syarikat/ firma tidak dapat mengenalpasti maklumat empunya yang sah semasa melengkapkan Daftar WTD? Syarikat/ firma hendaklah mengisi apa-apa maklumat yang unik yang dapat membantu syarikat/firma mengeluarkan surat pengesahan apabila terdapat empunya yang sah ingin membuat permohonan bayaran balik WTD.
    11. Apakah yang perlu dilakukan oleh syarikat/firma jika terdapat kesilapan dalam Daftar WTD selepas diserahkan kepada Pendaftar WTD? Syarikat/firma hendaklah memastikan maklumat yang dihantar kepada Pendaftar WTD adalah tepat dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serahan WTD yang dibuat.
    12. Adakah syarikat/firma boleh menggunakan encryption software yang berbeza untuk membuat encryption pada Daftar WTD (Ms.Excel)? Ya, syarikat/firma dibenarkan untuk menggunakan mana-mana encryption software. Namun begitu, syarikat/firma hendaklah menggunakan encryption key yang ditetapkan oleh Pendaftar WTD.
    13. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan encryption key? Encryption key hendaklah diperolehi daripada Pendaftar WTD dengan mengemukakan permohonan melalui e-mel.
    14. Apakah kaedah pembayaran serahan WTD? Bayaran serahan WTD boleh dibuat secara pindahan wang elektronik (EFT) ke akaun bank Pendaftar WTD. Caj bank yang akan dikenakan (jika ada) hendaklah ditanggung oleh syarikat/firma.
    15. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan maklumat akaun bank Pendaftar WTD? Maklumat akaun bank Pendaftar WTD boleh diperolehi dengan mengemukakan permohonan melalui e-mel.
    16. Apakah yang perlu diisi oleh syarikat/firma di dalam ruangan 'Rujukan Penerima' (recipient's reference) ketika membuat pembayaran serahan WTD? Syarikat/firma hendaklah mengisi maklumat di ruangan 'Rujukan Penerima' (recipient's reference) dengan mengikuti format yang telah ditetapkan oleh Pendaftar WTD iaitu:
      Perkara Saiz Data Format Data Contoh
      Kod Entiti 8 digit Sifar dihadapan 00000066
      Tarikh bayaran 8 digit ddmmyyyy 08012020
      Bil. Transaksi Bayaran 4 digit   0001
    17. Adakah serahan WTD dianggap selesai setelah syarikat/firma membuat bayaran ke dalam akaun bank Pendaftar WTD? Tidak, prosedur serahan WTD akan dianggap selesai hanya apabila syarikat/firma telah mengemukakan dokumen serahan WTD yang lengkap dan resit telah dikeluarkan.
    18. Berapa lamakah serahan WTD yang dihantar oleh syarikat/firma boleh dituntut semula oleh pemohon yang berhak daripada Pendaftar WTD? Pemohon boleh menyemak dan membuat permohonan tuntutan WTD selepas satu (1) bulan daripada tarikh Pendaftar WTD menerima dokumen serahan WTD yang lengkap daripada syarikat/firma.
    19. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya syarikat/firma kehilangan salinan simpanan Daftar WTD yang telah dihantar ke Pendaftar WTD? Syarikat/firma hendaklah menyimpan satu (1) salinan Daftar WTD sebagai rujukan selama mana semua maklumat dalam Daftar WTD tersebut masih belum dituntut pembayaran semula oleh empunya yang sah. Jika berlaku kehilangan Daftar WTD, Syarikat/ firma boleh membeli Daftar WTD yang telah diwartakan di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) atau membuat semakan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) atau Jabatan Arkib Negara.
    20. Apakah terdapat amaun minimum WTD yang perlu diserahkan oleh syarikat/firma kepada Pendaftar WTD? Akta WTD 1965 tidak memperuntukkan amaun minimum WTD yang perlu diserahkan kepada Pendaftar WTD. Oleh itu, syarikat/firma hendaklah menyerahkan semua WTD tanpa terhad pada apa-apa amaun kepada Pendaftar WTD. Amaun yang diterima oleh Pendaftar WTD tersebut akan dibayar semula kepada pemohon yang berhak.
    21. Adakah syarikat/firma perlu membuat serahan WTD sebaik sahaja satu-satu wang menjadi WTD? Adakah wang yang menjadi WTD pada bulan Mei perlu diserahkan pada bulan Mei juga? Syarikat/firma tidak perlu membuat serahan WTD setiap kali satu-satu wang menjadi WTD. Sebaliknya, syarikat/firma hendaklah menyediakan dan menyimpan Daftar WTD (Excel) yang meliputi semua wang yang menjadi WTD bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember tahun semasa. Kemudian, syarikat/firma hendaklah membuat serahan WTD tersebut selewat-lewatnya pada 31 Mac tahun berikutnya kepada Pendaftar WTD.
    22. Apa yang perlu dilakukan jika syarikat/firma mempunyai WTD yang tertunggak? WTD yang tertunggak ialah WTD yang perlu diserahkan oleh syarikat/firma pada tahun-tahun sebelumnya tetapi gagal diserahkan kepada Pendaftar WTD. Berhubung WTD yang tertunggak, syarikat/firma hendaklah membuat serahan kepada Pendaftar WTD dengan kadar segera. Hal ini disebabkan syarikat/firma boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kemungkiran mematuhi Akta WTD 1965 berterusan jika disabitkan bersalah. Walau bagaimanapun, syarikat/firma dibenarkan membuat serahan WTD yang tertunggak bersama-sama WTD yang dikenalpasti dalam tahun semasa dalam satu (1) serahan.
    23. Adakah syarikat/firma masih perlu membuat serahan WTD walaupun tidak menyimpan WTD? Syarikat/firma yang tidak menyimpan WTD tidak perlu membuat serahan WTD. Walau bagaimanapun, syarikat/firma hendaklah membuat pengisytiharan bahawa tiada WTD pada tahun tersebut kepada Pendaftar WTD.
    24. Adakah Pendaftar WTD membenarkan syarikat/firma membuat permohonan penangguhan serahan WTD dan berapa lamakah tempoh penangguhan akan diberikan? Syarikat/firma hendaklah mengemukakan permohonan penangguhan serahan WTD selewat-lewatnya pada tarikh akhir membuat serahan WTD iaitu 31 Mac setiap tahun. Permohonan rasmi hendaklah dibuat secara bertulis dengan justifikasi yang kukuh. Pendaftar WTD akan mempertimbangkan permohonanan tersebut dan menetapkan tempoh penangguhan yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, Pendaftar WTD juga berkuasa untuk menolak permohonan pengangguhan yang dikemukakan oleh syarikat/firma.
    25. Apakah tindakan undang-undang yang boleh diambil sekiranya syarikat/firma gagal mematuhi seksyen 10 Akta WTD 1965 iaitu serahan WTD kepada Pendaftar WTD? Kegagalan mematuhi Perkara 10 Akta WTD 1965, syarikat/ firma boleh dikenakan kompaun/denda mengikut Perkara 16 Akta WTD 1965, sebanyak tidak melebihi RM20,000.00 dengan nilai denda tambahan tidak melebihi RM1,000.00 bagi setiap hari selama kemungkiran itu berterusan.
    26. Bilakah hukuman denda dikira akibat ketidakpatuhan kepada Akta WTD 1965? Hukuman denda dikira mulai tarikh kemungkiran berlaku sehingga tarikh kehendak Akta WTD 1965 dipatuhi. Contohnya, Akta WTD 1965 telah memperuntukkan bahawa syarikat/firma hendaklah membuat serahan WTD selewat-lewatnya pada 31 Mac 2020. Walau bagaimanapun, syarikat/firma gagal membuat serahan WTD dalam tempoh yang ditetapkan dan hanya membuat serahan WTD pada 1 Mei 2020. Berdasarkan situasi tersebut, syarikat/firma boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 iaitu denda tidak melebihi RM 20,000 kerana gagal mematuhi Perkara 10(2), Akta WTD 1965 dan denda tambahan tidak melebihi RM1,000 setiap hari selama 30 hari kemungkiran mematuhi Akta WTD 1965 berlaku.
    27. Adakah hukuman denda ketidakpatuhan terhadap Akta WTD 1965 terhad kepada syarikat/firma sahaja? Perkara 10(4) Akta WTD 1965 menjelaskan bahawa denda yang dikenakan tidak terhad kepada syarikat/ firma sahaja. Sebaliknya, mana-mana pegawai dalam syarikat/firma yang menyebabkan kesalahan dibawah Perkara 10(1) dan Perkara 10(2) Akta WTD 1965 juga boleh dihukum denda. Perkara 16, Akta WTD 1965 pula menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan boleh dikenakan kompaun oleh Pendaftar WTD melalui kebenaran bertulis oleh Pendakwaraya dengan amaun tidak melebihi 50% dari denda maksimum bagi kesalahan tersebut. Walau bagaimanapun, tindakan pendakwaan tidak akan diambil bagi sesiapa yang membayar kompaun berkenaan
    28. Pegawai syarikat/firma yang ditugaskan bagi menyediakan Daftar WTD (Excel) telah meletakkan jawatan dan menyebabkan syarikat/firma tidak atau lewat membuat serahan WTD kepada Pendaftar WTD dalam tempoh yang ditetapkan. Adakah syarikat/firma dan pegawai yang telah meletakkan jawatan boleh dihukum denda? Kewajipan untuk mematuhi peruntukan Akta WTD 1965 adalah pada syarikat/firma. Ketidakpatuhan terhadap Akta WTD 1965 dengan alasan pegawai yang ditugaskan telah meletak jawatan adalah tidak munasabah. Perkara 8, Akta WTD 1965 menjelaskan bahawa Pengarah atau Setiausaha atau mana-mana kakitangan syarikat/firma yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pentadbiran syarikat/firma adalah bertanggungjawab memastikan kehendak Akta WTD 1965 dipatuhi. Walau bagaimanapun, pegawai yang telah meletakkan jawatan tidak tertakluk kepada Akta WTD 1965.
    29. Dimanakah semua dokumen-dokumen yang diperlukan dalam proses serahan WTD perlu dihantar oleh Syarikat/ firma? Daftar WTD (CD) dan salinan asal dokumen-dokumen yang diperlukan hendaklah dihantar oleh syarikat/ firma ke alamat pejabat Pendaftar WTD seperti berikut:
      Pendaftar Wang Tak Dituntut
      Jabatan Akauntan Negara Malaysia
      Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut (BWTD)
      Tingkat 42, Menara Maybank
      100, Jalan Tun Perak
      50050 Kuala Lumpur
  • C. BAYARAN BALIK WANG TAK DITUNTUT
    1. Dimana borang Permohonan Bayaran Balik Wang Tak Dituntut (UMA-7) boleh diperolehi ?

      Orang awam boleh memperolehi borang UMA-7 daripada pejabat Pendaftar. Borang ini juga boleh diperolehi di semua pejabat negeri Jabatan ini dan di kebanyakan bank-bank perdagangan. Pemohon boleh memuat turun borang ini daripada laman web untuk kegunaan rasmi. (Klik di sini UMA-7)
    2. Adakah Pendaftar mengenakan sebarang caj dalam pemprosesan permohonan bayaran balik wang tak dituntut ?

      Tiada sebarang caj dikenakan. Pendaftar akan membayar balik amaun wang yang diterima olehnya tanpa sebarang faedah diberikan.
    3. Adakah had tempoh masa ditetapkan dalam permohonan bayaran balik wang tak dituntut yang telah diserahkan kepada Pendaftar ?

      Had tempoh masa tidak ditetapkan dalam Akta. Wang dalam simpanan Pendaftar boleh dituntut oleh orang yang mempunyai hak ke atasnya pada bila-bila masa akan datang.
    4. Bolehkah seseorang pemohon membuat tuntutan jika dokumen asal yang menunjukkan hak kepunyaan wang tak dituntut itu telah hilang ?

      Boleh. Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan daripada entiti yang telah menyerahkan wang tak dituntut itu sebagai dokumen sokongan dalam permohonan beliau.
    5. Bolehkah seseorang individu membuat pertanyaan sama ada beliau mempunyai wang tak dituntut dalam simpanan Pendaftar?

      Semakan wang tak dituntut oleh individu boleh dilakukan melalui Portal eGUMIS atau di kaunter ibu pejabat Wang Tak Dituntut atau di Unit Wang Tak Dituntut di pejabat JANM Negeri/Cawangan yang berdekatan. Pihak yang benar-benar mempunyai wang tak dituntut akan mendapat maklumat yang diperlukan. Semakan secara atas talian boleh dilaksanakan di portal eGUMIS (https://egumis.anm.gov.my/).
    6. Adakah Pendaftar melantik agen ?

      Kementerian Kewangan atau Pendaftar Wang Tak Dituntut tidak pernah melantik mana-mana individu/firma/syarikat sebagai orang tengah atau agen untuk urusan tuntutan bayaran balik Wang Tak Dituntut.
      Sesiapa yang mempunyai Wang Tak Dituntut boleh membuat permohonan bagi bayaran balik terus kepada pejabat Pendaftar Wang Tak Dituntut tanpa sebarang caj /kos dikenakan.
    7. Di mana tuntutan bayaran balik Wang Tak Dituntut (WTD) boleh dikemukakan? Permohonan secara atas talian boleh dilaksanakan sepenuhnya di portal eGUMIS (https://egumis.anm.gov.my/) selepas membuat pendaftaran sebagai pengguna dan membuat semakan. Semua permohonan bayaran balik atau sebarang pertanyaan berkaitan WTD boleh dikemukakan kepada Pendaftar WTD beralamat seperti berikut:

      Pendaftar Wang Tak Dituntut
      Jabatan Akauntan Negara Malaysia
      Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut (BWTD)
      KAUNTER ARAS 1, BLOK SELATAN, PERBENDAHARAAN 2
      NO. 7, PERSIARAN PERDANA PRESINT 2,
      KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN
      PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
      62594 PUTRAJAYA

      Tel: 03-8000 8600 (Talian Am)
      Faks: 03-8000 8611

Hubungi Kami

Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)
Aras 1-8, Kompleks Kementerian Kewangan,
No. 1, Persiaran Perdana, Presint 2,
62594 Putrajaya.
    +603-8882 1000
    +603-8889 5821
    korporat[at]anm[dot]gov[dot]my

Waktu Urusan Kaunter JANM Putrajaya
Isnin - Khamis : 8.30 pagi - 5.00 petang
(Rehat : 1.00 - 2.00 petang)
Jumaat : 8.30 pagi - 5.00 petang
(Rehat : 12.15 tengah hari - 2.45 petang)
Sabtu, Ahad & Cuti Umum : Tutup