-
Pengenalan
- Institut Perakaunan Negara (IPN) merupakan sebuah pusat kecemerlangan latihan penjawat awam dalam bidang perakaunan dan kewangan. Di samping menganjurkan kursus-kursus perakaunan dan kewangan kepada penjawat awam pelbagai jabatan, IPN juga bersedia membantu Kementerian / Jabatan / Agensi mengenalpasti dan membekal khidmat tenaga pengajar yang bersesuaian bagi sebarang kursus perakaunan dan kewangan dalaman (in-house training).
- Garis panduan ini disediakan bertujuan membantu Kementerian / Jabatan / Agensi penganjur kursus mengemukakan permohonan khidmat tenaga pengajar IPN dan seterusnya melancarkan proses pelantikan pegawai-pegawai yang bersesuaian bagi memenuhi permohonan tersebut.
-
Garis Panduan
Kementerian / Jabatan / Agensi penganjur yang ingin memohon khidmat tenaga pengajar IPN perlu mematuhi perkara-perkara berikut :
- Peserta Kursus : Permohonan khidmat tenaga pengajar IPN adalah bagi kursus-kursus dalaman bagi tujuan latihan untuk pegawai / kakitangan dalam Kementerian / Jabatan / Agensi itu sahaja. Peserta kursus mestilah bukan daripada luar Kementerian / Jabatan / Agensi penganjur tersebut.
- Tempoh ceramah : Permohonan khidmat tenaga pengajar akan dipertimbangkan hanya untuk sesi ceramah dengan tempoh minima empat (4) jam bagi satu hari. Kementerian / Jabatan / Agensi penganjur perlu mengaturkan sendiri khidmat tenaga pengajar bagi mana-mana sesi ceramah sekiranya tempohnya kurang dari 4 jam sehari.
- Tempoh Permohonan : Semua permohonan perlu sampai kepada Pengarah IPN selewat-lewatnya sebulan sebelum tarikh kursus. Permohonan yang lewat diterima tidak akan dipertimbangkan.
- Kelulusan Permohonan : Pengarah IPN berhak melulus atau menolak mana-mana permohonan khidmat tenaga pengajar oleh Kementerian / Jabatan / Agensi penganjur. Pengarah IPN juga berhak melantik mana-mana pegawai yang bersesuaian sebagai tenaga pengajar bagi memenuhi permohonan Kementerian / Jabatan / Agensi penganjur.
- Kos Penganjuran : Segala kos penganjuran kursus oleh Kementerian / Jabatan / Agensi adalah menjadi tanggungjawab penganjur tersebut termasuk kos berkaitan penceramah seperti bayaran saguhati penceramah, elaun perjalanan kenderaan, penginapan, makan dan kos penyediaan nota ceramah.
- Maklumat Kursus : Semua permohonan hendaklah dikemukakan dengan menyatakan maklumat kursus (seperti tajuk, bilangan peserta, gred jawatan peserta, tarikh, tempat) dan maklumat pegawai yang boleh dihubungi (nama, nombor telefon dan alamat e-mel).
Pengarah
Institut Perakaunan Negara
Jalan 2, Sg. Lang,
45100 Sabak Bernam,
Selangor.
Tel : 03-3217 2000
Faks : 03-3217 2021 / 2120 / 2140
Laman Web : www.ipn.gov.my -
Penutup
- Garis panduan ini perlu dipatuhi sepenuhnya oleh Kementerian / Jabatan / Agensi bagi menjamin hasrat meningkatkan kompetensi perakaunan dan kewangan penjawat awam dapat dicapai secara kolektif. Garis panduan ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.
Garis Panduan bagi Pemohonan Tenaga Pengajar IPN
- Butiran
- 15011