Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
fb ikon  ig ikon  utube ikon  rss ikon
faq hubungi-kamiaduan   peta-laman
 
Soalan Lazim Wang Tak Dituntut & CDS-MOF
  • A. MAKLUMAT AM
    1. Bilakah wang dalam pertelingkahan (moneys in dispute) di antara pihak-pihak yang mempunyai kepentingan ke atasnya tertakluk kepada Akta Wang Tak Dituntut 1965 ?

      Wang dalam simpanan entiti hanya menjadi wang tak dituntut sekiranya wang itu kena dibayar di sisi undang-undang tetapi masih tidak dibayar dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut peruntukan Akta. Wang dalam pertelingkahan di antara pihak-pihak yang mempunyai kepentingan ke atasnya hanya akan menjadi kena bayar di sisi undang-undang apabila pertelingkahan tersebut selesai. Selepas itu, wang yang masih tidak dibayar kepada empunya selepas tempoh satu tahun atau satu tempoh masa yang lebih panjang sebagaimana diputuskan, akan menjadi sebagai wang tak dituntut.
    2. Bagaimanakah wang dalam akaun simpanan tetap yang mempunyai arahan pembaharuan automatik boleh menjadi wang tak dituntut ?

      Mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965, wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dalam satu tempoh masa tidak kurang daripada tujuh tahun telah ditafsir sebagai wang tak dituntut. Pengeluaran arahan tetap oleh pemegang akaun boleh diterima oleh institusi kewangan sebagai urusan dikendalikan oleh empunya. Akan tetapi tindakan ke atas arahan tetap itu adalah diambil oleh institusi kewangan dan tindakan itu tidak boleh diterima sebagai urusan dikendalikan oleh empunya. Bagi tujuan perkiraan tempoh masa tujuh tahun sepertimana yang ditetapkan dalam Akta, ianya bermula dari tarikh arahan tetap terakhir yang dikeluarkan oleh pemegang akaun.
    3. Apa yang perlu dilakukan oleh entiti jika terdapat kesilapan di dalam Daftar Wang Tak Dituntut (UMA-3) selepas ianya diserahkan kepada Pendaftar ?

      Jika penyerahan wang tak dituntut itu telah diproses oleh Pendaftar, entiti itu boleh mengemukakan permohonan untuk menuntut balik wang yang tersilap dilaporkan atau keseluruhan penyerahan itu. Bagi membetulkan kesilapan yang berlaku, entiti perlu mengemukakan daftar UMA-3 yang baru. Sekiranya penyerahan tersebut masih belum diproses oleh Pendaftar, entiti berkenaan boleh memohon untuk mendapatkan semula daftar UMA-3 bersama cek bayarannya untuk tujuan pembatalan. Penyerahan UMA-3 yang baru perlu dikemukakan.
    4. Siapa yang berkuasa menandatangani borang UMA-3 dan UMA-4 ?
      • Syarikat - Pengarah, setiausaha syarikat, mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa
      • Perbadanan - Mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa
      • Firma - Rakan kongsi, pengurus atau mana-mana pegawainya atau pihak yang diberi kuasa
    5. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Pendaftar untuk menyedarkan syarikat/firma tentang kehendak Akta Wang Tak Dituntut 1965 ?

      Selain daripada pemeriksaan entiti dan edaran buku panduan, Pendaftar juga menganjurkan sesi taklimat mengenai peruntukan Akta di pejabatnya dan di semua pejabat negeri Jabatan ini (Jabatan Akauntan Negara Malaysia). Pendaftar turut bersedia menerima jemputan entiti untuk mengendalikan taklimat ini di pejabat mereka.
  • B. SERAHAN WANG TAK DITUNTUT
    1. Apakah Kod Entiti dan bagaimanakah cara untuk memohon Kod Entiti? Kod Entiti ialah nombor unik yang dijana oleh Pendaftar WTD untuk setiap syarikat/ firma yang didaftarkan bagi tujuan serahan WTD. Syarikat/firma perlu melengkapkan dan menghantar Borang UMA-1 (Pin.1/2018) bagi mendapatkan Kod Entiti.
    2. Adakah syarikat/firma perlu memohon Kod Entiti yang baru setiap kali membuat serahan WTD? Tidak, syarikat/firma perlu menggunakan Kod Entiti yang sama setiap kali membuat serahan WTD.
    3. Adakah syarikat/firma perlu melengkapkan Borang UMA-1 (Pin.1/2018) setiap kali membuat serahan WTD? Tidak, syarikat/firma hanya perlu melengkapkan dan menghantar Borang UMA-1 (Pin.1/2018) jika terdapat sebarang perubahan maklumat syarikat/firma atau perubahan maklumat pegawai yang diberikuasa membuat serahan WTD. Syarikat/firma perlu menghantar satu (1) salinan Borang Perubahan Nama Syarikat/Firma (Borang 13 SSM) jika terdapat pertukaran nama syarikat/ firma. Borang UMA-1 (Pin.1/2018) hendaklah dilengkapkan secara cetakan komputer dan ditandatangan. Tulisan tangan adalah tidak dibenarkan.
    4. Siapakah yang layak menandatangani Borang UMA-1 (Pin.1/2018)? Borang UMA-1 (Pin.1/2018) hendaklah ditandatangani oleh Pengarah (Director) atau Pengurus Besar (General Manager) atau mana-mana pegawai tertinggi di dalam syarikat/firma.
    5. Bolehkah syarikat/firma menggunakan tandatangan digital atau tandatangan cetakan komputer bagi menandatangani Borang UMA-1 (Pin.1/2018) dan Borang UMA-4 (Pin.1/2018) yang dihantar kepada Pendaftar WTD? Syarikat/firma tidak dibenarkan menggunakan tandatangan digital atau tandatangan cetakan computer bagi menandatangani satu (1) salinan Borang UMA-1 (Pin.1/2018) dan dua (2) salinan Borang UMA-4 (Pin.1/2018).
    6. Bolehkah syarikat/firma menandatangani satu (1) salinan borang UMA-4 (Pin.1/2018) dan membuat salinan fotokopi? Dua (2) salinan asal Borang UMA-4 (Pin.1/2018) hendaklah ditandatangani dan dihantar kepada Pendaftar WTD. Salinan fotokopi adalah tidak dibenarkan.
    7. Adakah syarikat/ firma perlu mengemukakan Borang UMA-3? Tidak, Borang UMA-3 tidak digunapakai berkuatkuasa mulai 01.01.2018.
    8. Apakah yang dimaksudkan dengan Daftar WTD? Daftar WTD merupakan fail dalam format MsExcel yang perlu disediakan mengikut panduan yang ditetapkan oleh Pendaftar WTD.
    9. Bolehkah semua jenis WTD direkodkan dalam Daftar WTD (Excel) yang sama? Semua jenis wang tak dituntut boleh direkodkan dalam Daftar WTD (Excel) yang sama.
    10. Apakah yang perlu dilakukan oleh syarikat/firma sekiranya syarikat/ firma tidak dapat mengenalpasti maklumat empunya yang sah semasa melengkapkan Daftar WTD? Syarikat/ firma hendaklah mengisi apa-apa maklumat yang unik yang dapat membantu syarikat/firma mengeluarkan surat pengesahan apabila terdapat empunya yang sah ingin membuat permohonan bayaran balik WTD.
    11. Apakah yang perlu dilakukan oleh syarikat/firma jika terdapat kesilapan dalam Daftar WTD selepas diserahkan kepada Pendaftar WTD? Syarikat/firma hendaklah memastikan maklumat yang dihantar kepada Pendaftar WTD adalah tepat dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serahan WTD yang dibuat.
    12. Adakah syarikat/firma boleh menggunakan encryption software yang berbeza untuk membuat encryption pada Daftar WTD (Ms.Excel)? Ya, syarikat/firma dibenarkan untuk menggunakan mana-mana encryption software. Namun begitu, syarikat/firma hendaklah menggunakan encryption key yang ditetapkan oleh Pendaftar WTD.
    13. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan encryption key? Encryption key hendaklah diperolehi daripada Pendaftar WTD dengan mengemukakan permohonan melalui e-mel.
    14. Apakah kaedah pembayaran serahan WTD? Bayaran serahan WTD boleh dibuat secara pindahan wang elektronik (EFT) ke akaun bank Pendaftar WTD. Caj bank yang akan dikenakan (jika ada) hendaklah ditanggung oleh syarikat/firma.
    15. Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan maklumat akaun bank Pendaftar WTD? Maklumat akaun bank Pendaftar WTD boleh diperolehi dengan mengemukakan permohonan melalui e-mel.
    16. Apakah yang perlu diisi oleh syarikat/firma di dalam ruangan 'Rujukan Penerima' (recipient's reference) ketika membuat pembayaran serahan WTD? Syarikat/firma hendaklah mengisi maklumat di ruangan 'Rujukan Penerima' (recipient's reference) dengan mengikuti format yang telah ditetapkan oleh Pendaftar WTD iaitu:
      Perkara Saiz Data Format Data Contoh
      Kod Entiti 8 digit Sifar dihadapan 00000066
      Tarikh bayaran 8 digit ddmmyyyy 08012020
      Bil. Transaksi Bayaran 4 digit   0001
    17. Adakah serahan WTD dianggap selesai setelah syarikat/firma membuat bayaran ke dalam akaun bank Pendaftar WTD? Tidak, prosedur serahan WTD akan dianggap selesai hanya apabila syarikat/firma telah mengemukakan dokumen serahan WTD yang lengkap dan resit telah dikeluarkan.
    18. Berapa lamakah serahan WTD yang dihantar oleh syarikat/firma boleh dituntut semula oleh pemohon yang berhak daripada Pendaftar WTD? Pemohon boleh menyemak dan membuat permohonan tuntutan WTD selepas satu (1) bulan daripada tarikh Pendaftar WTD menerima dokumen serahan WTD yang lengkap daripada syarikat/firma.
    19. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya syarikat/firma kehilangan salinan simpanan Daftar WTD yang telah dihantar ke Pendaftar WTD? Syarikat/firma hendaklah menyimpan satu (1) salinan Daftar WTD sebagai rujukan selama mana semua maklumat dalam Daftar WTD tersebut masih belum dituntut pembayaran semula oleh empunya yang sah. Jika berlaku kehilangan Daftar WTD, Syarikat/ firma boleh membeli Daftar WTD yang telah diwartakan di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) atau membuat semakan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) atau Jabatan Arkib Negara.
    20. Apakah terdapat amaun minimum WTD yang perlu diserahkan oleh syarikat/firma kepada Pendaftar WTD? Akta WTD 1965 tidak memperuntukkan amaun minimum WTD yang perlu diserahkan kepada Pendaftar WTD. Oleh itu, syarikat/firma hendaklah menyerahkan semua WTD tanpa terhad pada apa-apa amaun kepada Pendaftar WTD. Amaun yang diterima oleh Pendaftar WTD tersebut akan dibayar semula kepada pemohon yang berhak.
    21. Adakah syarikat/firma perlu membuat serahan WTD sebaik sahaja satu-satu wang menjadi WTD? Adakah wang yang menjadi WTD pada bulan Mei perlu diserahkan pada bulan Mei juga? Syarikat/firma tidak perlu membuat serahan WTD setiap kali satu-satu wang menjadi WTD. Sebaliknya, syarikat/firma hendaklah menyediakan dan menyimpan Daftar WTD (Excel) yang meliputi semua wang yang menjadi WTD bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember tahun semasa. Kemudian, syarikat/firma hendaklah membuat serahan WTD tersebut selewat-lewatnya pada 31 Mac tahun berikutnya kepada Pendaftar WTD.
    22. Apa yang perlu dilakukan jika syarikat/firma mempunyai WTD yang tertunggak? WTD yang tertunggak ialah WTD yang perlu diserahkan oleh syarikat/firma pada tahun-tahun sebelumnya tetapi gagal diserahkan kepada Pendaftar WTD. Berhubung WTD yang tertunggak, syarikat/firma hendaklah membuat serahan kepada Pendaftar WTD dengan kadar segera. Hal ini disebabkan syarikat/firma boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kemungkiran mematuhi Akta WTD 1965 berterusan jika disabitkan bersalah. Walau bagaimanapun, syarikat/firma dibenarkan membuat serahan WTD yang tertunggak bersama-sama WTD yang dikenalpasti dalam tahun semasa dalam satu (1) serahan.
    23. Adakah syarikat/firma masih perlu membuat serahan WTD walaupun tidak menyimpan WTD? Syarikat/firma yang tidak menyimpan WTD tidak perlu membuat serahan WTD. Walau bagaimanapun, syarikat/firma hendaklah membuat pengisytiharan bahawa tiada WTD pada tahun tersebut kepada Pendaftar WTD.
    24. Adakah Pendaftar WTD membenarkan syarikat/firma membuat permohonan penangguhan serahan WTD dan berapa lamakah tempoh penangguhan akan diberikan? Syarikat/firma hendaklah mengemukakan permohonan penangguhan serahan WTD selewat-lewatnya pada tarikh akhir membuat serahan WTD iaitu 31 Mac setiap tahun. Permohonan rasmi hendaklah dibuat secara bertulis dengan justifikasi yang kukuh. Pendaftar WTD akan mempertimbangkan permohonanan tersebut dan menetapkan tempoh penangguhan yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, Pendaftar WTD juga berkuasa untuk menolak permohonan pengangguhan yang dikemukakan oleh syarikat/firma.
    25. Apakah tindakan undang-undang yang boleh diambil sekiranya syarikat/firma gagal mematuhi seksyen 10 Akta WTD 1965 iaitu serahan WTD kepada Pendaftar WTD? Kegagalan mematuhi Perkara 10 Akta WTD 1965, syarikat/ firma boleh dikenakan kompaun/denda mengikut Perkara 16 Akta WTD 1965, sebanyak tidak melebihi RM20,000.00 dengan nilai denda tambahan tidak melebihi RM1,000.00 bagi setiap hari selama kemungkiran itu berterusan.
    26. Bilakah hukuman denda dikira akibat ketidakpatuhan kepada Akta WTD 1965? Hukuman denda dikira mulai tarikh kemungkiran berlaku sehingga tarikh kehendak Akta WTD 1965 dipatuhi. Contohnya, Akta WTD 1965 telah memperuntukkan bahawa syarikat/firma hendaklah membuat serahan WTD selewat-lewatnya pada 31 Mac 2020. Walau bagaimanapun, syarikat/firma gagal membuat serahan WTD dalam tempoh yang ditetapkan dan hanya membuat serahan WTD pada 1 Mei 2020. Berdasarkan situasi tersebut, syarikat/firma boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 iaitu denda tidak melebihi RM 20,000 kerana gagal mematuhi Perkara 10(2), Akta WTD 1965 dan denda tambahan tidak melebihi RM1,000 setiap hari selama 30 hari kemungkiran mematuhi Akta WTD 1965 berlaku.
    27. Adakah hukuman denda ketidakpatuhan terhadap Akta WTD 1965 terhad kepada syarikat/firma sahaja? Perkara 10(4) Akta WTD 1965 menjelaskan bahawa denda yang dikenakan tidak terhad kepada syarikat/ firma sahaja. Sebaliknya, mana-mana pegawai dalam syarikat/firma yang menyebabkan kesalahan dibawah Perkara 10(1) dan Perkara 10(2) Akta WTD 1965 juga boleh dihukum denda. Perkara 16, Akta WTD 1965 pula menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan boleh dikenakan kompaun oleh Pendaftar WTD melalui kebenaran bertulis oleh Pendakwaraya dengan amaun tidak melebihi 50% dari denda maksimum bagi kesalahan tersebut. Walau bagaimanapun, tindakan pendakwaan tidak akan diambil bagi sesiapa yang membayar kompaun berkenaan
    28. Pegawai syarikat/firma yang ditugaskan bagi menyediakan Daftar WTD (Excel) telah meletakkan jawatan dan menyebabkan syarikat/firma tidak atau lewat membuat serahan WTD kepada Pendaftar WTD dalam tempoh yang ditetapkan. Adakah syarikat/firma dan pegawai yang telah meletakkan jawatan boleh dihukum denda? Kewajipan untuk mematuhi peruntukan Akta WTD 1965 adalah pada syarikat/firma. Ketidakpatuhan terhadap Akta WTD 1965 dengan alasan pegawai yang ditugaskan telah meletak jawatan adalah tidak munasabah. Perkara 8, Akta WTD 1965 menjelaskan bahawa Pengarah atau Setiausaha atau mana-mana kakitangan syarikat/firma yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pentadbiran syarikat/firma adalah bertanggungjawab memastikan kehendak Akta WTD 1965 dipatuhi. Walau bagaimanapun, pegawai yang telah meletakkan jawatan tidak tertakluk kepada Akta WTD 1965.
    29. Dimanakah semua dokumen-dokumen yang diperlukan dalam proses serahan WTD perlu dihantar oleh Syarikat/ firma? Daftar WTD (CD) dan salinan asal dokumen-dokumen yang diperlukan hendaklah dihantar oleh syarikat/ firma ke alamat pejabat Pendaftar WTD seperti berikut:
      Pendaftar Wang Tak Dituntut
      Jabatan Akauntan Negara Malaysia
      Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut (BWTD)
      Tingkat 42, Menara Maybank
      100, Jalan Tun Perak
      50050 Kuala Lumpur
  • C. BAYARAN BALIK WANG TAK DITUNTUT
    1. Dimana borang Permohonan Bayaran Balik Wang Tak Dituntut (UMA-7) boleh diperolehi ?

      Orang awam boleh memperolehi borang UMA-7 daripada pejabat Pendaftar. Borang ini juga boleh diperolehi di semua pejabat negeri Jabatan ini dan di kebanyakan bank-bank perdagangan. Pemohon boleh memuat turun borang ini daripada laman web untuk kegunaan rasmi. (Klik di sini UMA-7)
    2. Adakah Pendaftar mengenakan sebarang caj dalam pemprosesan permohonan bayaran balik wang tak dituntut ?

      Tiada sebarang caj dikenakan. Pendaftar akan membayar balik amaun wang yang diterima olehnya tanpa sebarang faedah diberikan.
    3. Adakah had tempoh masa ditetapkan dalam permohonan bayaran balik wang tak dituntut yang telah diserahkan kepada Pendaftar ?

      Had tempoh masa tidak ditetapkan dalam Akta. Wang dalam simpanan Pendaftar boleh dituntut oleh orang yang mempunyai hak ke atasnya pada bila-bila masa akan datang.
    4. Bolehkah seseorang pemohon membuat tuntutan jika dokumen asal yang menunjukkan hak kepunyaan wang tak dituntut itu telah hilang ?

      Boleh. Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan daripada entiti yang telah menyerahkan wang tak dituntut itu sebagai dokumen sokongan dalam permohonan beliau.
    5. Bolehkah seseorang individu membuat pertanyaan sama ada beliau mempunyai wang tak dituntut dalam simpanan Pendaftar?

      Semakan wang tak dituntut oleh individu boleh dilakukan melalui Portal eGUMIS atau di kaunter ibu pejabat Wang Tak Dituntut atau di Unit Wang Tak Dituntut di pejabat JANM Negeri/Cawangan yang berdekatan. Pihak yang benar-benar mempunyai wang tak dituntut akan mendapat maklumat yang diperlukan. Semakan secara atas talian boleh dilaksanakan di portal eGUMIS (https://egumis.anm.gov.my/).
    6. Adakah Pendaftar melantik agen ?

      Kementerian Kewangan atau Pendaftar Wang Tak Dituntut tidak pernah melantik mana-mana individu/firma/syarikat sebagai orang tengah atau agen untuk urusan tuntutan bayaran balik Wang Tak Dituntut.
      Sesiapa yang mempunyai Wang Tak Dituntut boleh membuat permohonan bagi bayaran balik terus kepada pejabat Pendaftar Wang Tak Dituntut tanpa sebarang caj /kos dikenakan.
    7. Di mana tuntutan bayaran balik Wang Tak Dituntut (WTD) boleh dikemukakan? Permohonan secara atas talian boleh dilaksanakan sepenuhnya di portal eGUMIS (https://egumis.anm.gov.my/) selepas membuat pendaftaran sebagai pengguna dan membuat semakan. Semua permohonan bayaran balik atau sebarang pertanyaan berkaitan WTD boleh dikemukakan kepada Pendaftar WTD beralamat seperti berikut:

      Pendaftar Wang Tak Dituntut
      Jabatan Akauntan Negara Malaysia
      Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut (BWTD)
      KAUNTER ARAS 1, BLOK SELATAN, PERBENDAHARAAN 2
      NO. 7, PERSIARAN PERDANA PRESINT 2,
      KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN
      PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
      62594 PUTRAJAYA

      Tel: 03-8000 8600 (Talian Am)
      Faks: 03-8000 8611

Hubungi Kami

Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)
Aras 1-8, Kompleks Kementerian Kewangan,
No. 1, Persiaran Perdana, Presint 2,
62594 Putrajaya.
    +603-8882 1000
    +603-8889 5821
    korporat[at]anm[dot]gov[dot]my

Waktu Urusan Kaunter JANM Putrajaya
Isnin - Khamis : 8.30 pagi - 5.00 petang
(Rehat : 1.00 - 2.00 petang)
Jumaat : 8.30 pagi - 5.00 petang
(Rehat : 12.15 tengah hari - 2.45 petang)
Sabtu, Ahad & Cuti Umum : Tutup