Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
fb ikon  ig ikon  utube ikon  rss ikon
faq hubungi-kamiaduan   peta-laman
 
Info Galeri Media Video Soalan Lazim
  • 1. Apakah sumber rujukan utama SAGA?

    Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 3 Tahun 2018 – Pelaksanaan, Pemantauan, dan Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (Standard Accounting System For Government Agencies)

  • 2. Apakah yang dimaksudkan dengan SAGA?

    SAGA adalah merujuk kepada Standard Accounting System for Government Agencies (Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan). SAGA merangkumi sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang dibangunkan atau Commercial Off-The-Shelf (COTS) serta sistem sokongan berkaitan data kewangan yang berintegrasi dengannya. Sistem aplikasi tersebut perlu mematuhi reka bentuk sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang diluluskan oleh JANM dan Kriteria Pematuhan SAGA.

  • 3. Apakah objektif SAGA?

    Objektif SAGA adalah seperti berikut:

    1. Memastikan penyata kewangan dapat disediakan dengan lebih cepat, tepat, kemas kini, berintegriti, mematuhi piawaian perakaunan yang diterima pakai serta memantapkan pengurusan perakaunan dan kewangan Agensi Kerajaan; dan
    2. Memastikan keselamatan sistem, data dan maklumat terjamin dari aspek kerahsiaan (confidentiality), integriti (integrity) dan ketersediaan (availability) iaitu data dan maklumat dilindungi, terpelihara, lengkap dan boleh diakses pada bila-bila masa.
  • 4. Apakah yang dimaksudkan dengan Agensi Kerajaan?

    Agensi Kerajaan merujuk kepada:

    1. Badan Berkanun Persekutuan (BBP);
    2. Badan Berkanun Negeri (BBN);
    3. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); dan
    4. Majlis Agama Islam (MAIN)
  • 5. Apakah struktur tadbir urus SAGA?

    Struktur tadbir urus SAGA terdiri daripada:

    1. Peringkat Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM):
      1. Jawatankuasa Pemandu SAGA
      2. Jawatankuasa Teknikal SAGA
      3. Jawatankuasa Pematuhan SAGA
    2. Peringkat Kementerian/Setiausaha Kerajaan Negeri/Agensi Kerajaan:
      1. Jawatankuasa Pemantau SAGA (Kementerian/ Kerajaan Negeri)
      2. Jawatankuasa Pelaksana SAGA (Agensi)
      3. Pasukan Petugas SAGA (Agensi)

    Keahlian dan terma rujukan struktur tadbir urus bagi setiap peringkat adalah seperti yang dinyatakan dalam SPANM Bilangan 3 Tahun 2018.

  • 6. Adakah sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang hendak dibangunkan oleh Agensi Kerajaan perlu mempunyai kelulusan reka bentuk sistem?

    Ya. Agensi Kerajaan yang bercadang untuk membangunkan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan hendaklah mendapatkan kelulusan reka bentuk sistem daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM). Permohonan kelulusan reka bentuk sistem aplikasi perakaunan dan kewangan hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Khidmat Perunding (BKP) JANM berserta maklumat yang dinyatakan dalam SPANM Bilangan 3 Tahun 2018.

    Bagi Agensi Kerajaan yang telah membangunkan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan sebelum Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 5 Tahun 2010 bertarikh 26 November 2010 dikeluarkan adalah dikecualikan daripada mendapatkan kelulusan reka bentuk sistem aplikasi perakaunan dan kewangan daripada JANM.

  • 7. Adakah Agensi Kerajaan perlu mendapatkan khidmat nasihat pengesahan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Malaysia (CGSO) sebelum rancangan pembangunan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan dilaksanakan?

    Ya. Agensi Kerajaan hendaklah merujuk kepada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi tujuan penilaian dan penentuan tahap risiko serta kawalan keselamatan dan perlindungan ke atas sistem/maklumat sebelum sesuatu rancangan pembangunan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan dilaksanakan bagi mematuhi keperluan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017). Khidmat nasihat  Pengesahan CGSO merupakan salah satu (1) dokumen yang perlu dikemukakan kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia bagi permohonan kelulusan reka bentuk sistem.

  • 8. Apakah proses-proses yang terlibat dalam permohonan kelulusan reka bentuk sistem daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia?

    Agensi Kerajaan hendaklah mendapatkan khidmat nasihat daripada CGSO sebelum pembangunan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan 

    Agensi Kerajaan mengemukakan permohonan kelulusan reka bentuk sistem kepada Bahagian Khidmat Perunding (BKP), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) 

    Agensi Kerajaan membentangkan permohonan kelulusan reka bentuk sistem dalam Mesyuarat Pra-Kelulusan Reka bentuk Sistem Aplikasi Perakaunan dan Kewangan 

    BKP, JANM membentangkan permohonan kelulusan reka bentuk sistem kepada Jawatankuasa Teknikal SAGA (JKT) untuk perakuan

    BKP, JANM membentangkan permohonan kelulusan reka bentuk sistem kepada Jawatankuasa Pemandu SAGA (JKP) untuk kelulusan  

    BKP, JANM mengemukakan surat kelulusan reka bentuk sistem kepada Agensi Kerajaan 

  • 9.Bagaimanakah mesyuarat pra-kelulusan reka bentuk sistem aplikasi perakaunan dan kewangan bersama Agensi Kerajaan dijalankan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan?

    Mesyuarat pra-kelulusan reka bentuk sistem aplikasi perakaunan dan kewangan bersama Agensi Kerajaan dijalankan secara atas talian semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan.

  • 10. Berapakah tempoh masa yang diambil bagi mendapatkan kelulusan reka bentuk sistem daripada JANM?

    Permohonan akan diproses dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh permohonan lengkap diterima.
    Permohonan ini perlu melalui dua (2) jawatan kuasa di JANM iaitu diperakukan di Jawatankuasa Teknikal (JKT) SAGA dan diluluskan di Jawatankuasa Pemandu (JKP) SAGA.
    Permohonan kelulusan reka bentuk hendaklah dikemukakan kepada BKP JANM selewat-lewatnya tiga (3) minggu sebelum Mesyuarat JKT SAGA diadakan.

  • 11. Adakah kelulusan reka bentuk sistem yang diperolehi mempunyai tempoh sah laku?

    Kelulusan yang diberikan tiada tempoh sah laku. Walau bagaimanapun, kelulusan reka bentuk sistem aplikasi perakaunan dan kewangan adalah terbatal sekiranya Agensi Kerajaan menukar sistem sedia ada kepada sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang baharu.

  • 12. Apakah tindakan seterusnya yang perlu diambil oleh Agensi Kerajaan setelah mendapat kelulusan reka bentuk sistem daripada JANM?

    Berdasarkan Surat Pekeliling Am yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, Agensi Kerajaan hendaklah mengemukakan permohonan kelulusan teknikal sistem kepada :

    1. Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) di Kementerian/ Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK); dan/atau
    2. Jawatankuasa Teknikal Sektor Awam (JTISA) di MAMPU, Jabatan Perdana Menteri (tertakluk kepada pekeliling yang berkuat kuasa)

    Bagi Agensi Kerajaan yang tidak tertakluk kepada pekeliling tersebut, Agensi Kerajaan hendaklah menggunakan peraturan dan prosedur pembangunan sistem aplikasi Agensi Kerajaan yang berkuat kuasa.

  • 13. Apakah kesan jika Agensi Kerajaan tidak mendapatkan kelulusan reka bentuk Sistem SAGA daripada JANM?

    Kelulusan reka bentuk Sistem SAGA daripada JANM merupakan syarat wajib yang perlu diperolehi oleh Agensi Kerajaan sebelum proses mendapatkan Sijil Pematuhan SAGA.

  • 14. Adakah Agensi Kerajaan perlu mendapat Sijil Pematuhan SAGA walaupun Agensi Kerajaan telah mendapat kelulusan reka bentuk sistem daripada JANM?

    Ya. Agensi Kerajaan masih perlu mendapat Sijil Pematuhan SAGA walaupun Agensi Kerajaan telah mendapat kelulusan reka bentuk sistem daripada JANM kerana pelaksanaan sistem di agensi berkemungkinan berbeza dan tidak sama daripada cadangan reka bentuk yang telah diluluskan.
    Sijil Pematuhan SAGA diberikan kepada sistem aplikasi perakaunan dan kewangan Agensi Kerajaan yang mematuhi Kriteria Pematuhan SAGA seperti digariskan di dalam SPANM Bil. 3 Tahun 2018.

  • 15. Apakah Kriteria Pematuhan SAGA yang perlu dipatuhi oleh sistem aplikasi perakaunan dan kewangan agensi?

    Kriteria Pematuhan SAGA terbahagi kepada 12 kriteria fungsian dan 8 kriteria teknikal.

    Kriteria Fungsian :

    1. Piawaian Perakaunan Yang Diterima Pakai
    2. Asas Perakaunan Akruan
    3. Kod Carta Akaun Yang Fleksibel
    4. Penutupan Akaun
    5. ingle-Point Data Entry dan Integrasi
    6. Penambahan/ Pengurangan Modul
    7. Proses Kelulusan Dalam Talian
    8. Pembayaran dan Terimaan Elektronik
    9. Penyesuaian Bank
    10. Penjanaan Penyata Kewangan dan Laporan
    11. Pengauditan
    12. Penyimpanan Data (Storan)

    Kriteria Teknikal :

    1. Pentadbiran Profil Keselamatan Pengguna
    2. Jejak Audit Daripada Sistem
    3. Sistem Log Server
    4. Kaedah Penyulitan Data
    5. Keselamatan Maklumat Dalam Rangkaian dan Infrastruktur ICT
    6. Penamatan Sesi Secara Automatik
    7. Sandaran Data dan Pengujian Restore Secara Berkala
    8. Pelan Pemulihan Bencana
  • 16. Bagaimanakah cara untuk memohon Sijil Pematuhan SAGA? Apakah proses-proses yang terlibat dalam permohonan Sijil Pematuhan SAGA daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia?

    Agensi Kerajaan melengkapkan borang soal selidik Self-Assessment SAGA Compliance Review (SASAR) dan Checklist SASAR

    Agensi Kerajaan mengemukakan permohonan Pematuhan SAGA kepada BKP, JANM

    BKP, JANM menjalankan lawatan pemerhatian Sekretariat Pematuhan SAGA di Agensi Kerajaan dan kemuka laporan penemuan dan syor penambahbaikan

    Jawatankuasa Pematuhan SAGA (JKPS) menjalankan lawatan penilaian JKPS di Agensi Kerajaan untuk penilaian dan perakuan

    BKP, JANM membentangkan Agensi Kerajaan yang layak kepada Jawatankuasa Pemandu SAGA (JKP) untuk kelulusan 

    BKP, JANM mengemukakan surat pengiktirafan dan Sijil Pematuhan SAGA kepada Agensi Kerajaan 

  • 17. Apakah yang agensi perlu sediakan semasa lawatan Sekretariat dan Jawatankuasa Pematuhan SAGA (JKPS)?
    1. Semasa lawatan sekretariat Pematuhan SAGA, Agensi perlu membentangkan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan untuk dinilai supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan oleh agensi sebelum lawatan penilaian oleh Jawatankuasa Pematuhan SAGA (JKPS).
    2. Semasa lawatan penilaian JKPS, Agensi perlu membentangkan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan untuk dinilai dan diperaku sebelum diangkat untuk kelulusan oleh Jawatankuasa Pemandu (JKP) SAGA.
  • 18.Bagaimanakah Lawatan Sekretariat dan Lawatan Penilaian Jawatankuasa Pematuhan SAGA (JKPS) dijalankan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan?

    Lawatan Sekretariat SAGA dan Lawatan Penilaian Jawatankuasa Pematuhan SAGA (JKPS) dijalankan secara atas talian semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Persediaan oleh agensi adalah seperti berikut :

    1. Dokumentasi lawatan dikemukakan kepada Sekretariat SAGA dua minggu sebelum tarikh lawatan; dan
    2. Memastikan talian internet adalah baik bagi mengelakkan sebarang gangguan semasa sesi pembentangan dilaksanakan.
  • 19. Berapa lamakah tempoh untuk mendapatkan Sijil Pematuhan SAGA?

    Tiada tempoh yang tertentu untuk mendapatkan Sijil Pematuhan SAGA kerana bergantung kepada ketersediaan sistem agensi. Lawatan Pemerhatian Sekretariat Pematuhan SAGA akan dilaksanakan sebelum sistem agensi bersedia untuk dinilai oleh Jawatankuasa Pematuhan SAGA (JKPS).

  • 20. Adakah Sijil Pematuhan SAGA mempunyai tarikh luput?

    Tiada. Walau bagaimanapun, Sijil Pematuhan SAGA adalah terbatal sekiranya Agensi Kerajaan menukar sistem aplikasi perakaunan dan kewangan sedia ada yang telah diberikan pengiktirafan Pematuhan SAGA kepada sistem aplikasi perakaunan dan kewangan baharu. Bagi sistem yang dinaik taraf, ia perlu mengekalkan pematuhan SAGA dan ketidakpatuhan boleh menyebabkan Sijil Pematuhan SAGA terbatal.

  • 21. Adakah JANM akan menjalankan pengauditan ke atas agensi yang telah mendapat Sijil Pematuhan SAGA?

    Ya. JANM akan mengadakan lawatan susulan ke atas agensi yang telah memperolehi Sijil Pematuhan SAGA melebihi tiga (3) tahun dari tarikh Sijil Pematuhan SAGA. Oleh itu, bagi Agensi Kerajaan yang telah menerima Sijil Pematuhan SAGA dikehendaki memastikan kesemua kriteria Pematuhan SAGA dipatuhi.

    JANM telah memutuskan bahawa Sijil Pematuhan SAGA yang telah diperoleh akan dibatalkan bagi agensi yang tidak mengekalkan pematuhan kepada semua Kriteria Pematuhan SAGA.

  • 22. Bagaimanakah untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung permohonan kelulusan reka bentuk sistem dan pematuhan SAGA?

    Bahagian Khidmat Perunding (BKP)
    Jabatan Akauntan Negara Malaysia
    Aras 5, Perbendaharaan 2
    No.7, Persiaran Perdana
    Presint 2
    62594 Putrajaya
    u.p. : Unit SAGA

    No telefon: 03 - 8886 9543/ 9756/ 9547/ 9848/ 9751/ 9604/ 9535/ 9757/9682

    Emel:bkp_saga[@]anm.gov.my

Apakah yang perlu dilakukan oleh kementerian/jabatan untuk menjamin kejayaan pelaksanakan Sistem Perakaunan Mikro (SPM) ?

 

Kementerian/Jabatan perlu menghubungi Unit Perakaunan Pengurusan, Seksyen Khidmat Perunding JANM untuk mengadakan taklimat bagi tujuan memberi kefahaman kepada kakitangan/pengurusan tentang kegunaan SPM. Bengkel perlu diadakan untuk membolehkan kakitangan terlibat menggunakan pakej yang telah dibangunkan dan memanafaatkan laporan-laporan yang dikeluarkan. Khidmat nasihat / tindakan susulan pelaksanaan selepas bengkel akan diberikan untuk memastikan SPM berjalan dengan lancar. Untuk menjamin kejayaan pelaksanaan SPM, kementerian perlu mengambil tindakan berikut:

  1. menubuhkan Jawatankuasa Pemandu SPM atau jawatankuasa lain berkaitan untuk memantau pelaksanaannya yang diketuai oleh Ketua Agensi.
  2. melantik Ketua Fasilitator yang dapat memastikan kejayaan pelaksanaan SPM
  3. melantik Pasukan Petugas yang mempunyai daya usaha serta semangat untuk menjayakan SPM. Pasukan ini akan diberi bimbingan secukupnya untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dengan berkesan.
  • Apakah definisi Sistem Aplikasi Perakaunan dan Kewangan bagi Kerajaan Persekutuan?

    Sistem Aplikasi Perakaunan dan Kewangan bagi Kerajaan Persekutuan merujuk kepada sistem aplikasi yang melibatkan perakaunan dan kewangan bagi terimaan, bayaran, amanah, deposit, aset dan inventori, pelaburan, pinjaman dan pelaporan wang awam.

  • Adakah Sistem Aplikasi Perakaunan dan Kewangan yang hendak dibangunkan oleh Kementerian / Jabatan Persekutuan perlu mempunyai kelulusan sistem?

    Ya. Kementerian / Jabatan Persekutuan yang bercadang untuk membangunkan Sistem Aplikasi Perakaunan dan Kewangan hendaklah mendapatkan kelulusan reka bentuk sistem daripada Akauntan Negara Malaysia, selaras dengan Arahan Perbendaharaan (AP) 138(a).

    Kementerian / Jabatan juga hendaklah merujuk kepada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi tujuan penilaian dan penentuan tahap risiko serta kawalan keselamatan dan perlindungan ke atas sistem/ maklumat sebelum sesuatu rancangan pembangunan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan dilaksanakan bagi mematuhi keperluan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017). Pengesahan CGSO merupakan salah satu (1) dokumen yang perlu dikemukakan kepada Akauntan Negara Malaysia bagi permohonan kelulusan sistem.

  • Apakah prosedur yang terlibat dalam permohonan kelulusan reka bentuk sistem Kementerian/Jabatan Persekutuan daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia?

    Prosedur yang terlibat dalam permohonan kelulusan reka bentuk sistem Kementerian/Jabatan Persekutuan adalah seperti berikut:

    soalanlazim

  • Apakah garis panduan yang boleh dirujuk oleh Kementerian / Jabatan dalam menyediakan permohonan kelulusan reka bentuk sistem?

    Kementerian/Jabatan hendaklah merujuk kepada Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia yang berkuat kuasa mengenai Garis Panduan Permohonan Kelulusan Reka Bentuk Sistem Perakaunan dan Kewangan Kementerian/Jabatan Persekutuan sebagai panduan penyediaan permohonan kelulusan reka bentuk sistem. Permohonan perlu merangkumi:

    1. Tujuan permohonan;
    2. Latar belakang Kementerian/ Jabatan Persekutuan;
    3. Justifikasi permohonan;
    4. Perbandingan sistem perakaunan dan kewangansedia ada dan baharu (jika berkenaan);
    5. Cadangan pelaksanaan;
    6. Gambar rajah reka bentuk sistem;
    7. Prosedur Perakaunan/Kewangan dan Carta Alir Kerja;
    8. Dokumen/ laporan kewangan berserta contoh dokumen;
    9. Rajah Reka Bentuk Rangkaian dan Infrastruktur Information & Communications Technology(ICT)
    10. Ciri-ciri keselamatan sistem;
    11. Pengesahan dan Syor CGSO;
    12. Ulasan Bahagian Akaun Kementerian/ Jabatan; dan
    13. Maklumat pegawai yang boleh dihubungi.
  • Apakah pekeliling-pekeliling yang relevan dan boleh dirujuk oleh Kementerian / Jabatan bagi pembangunan sistem yang melibatkan terimaan secara e-Pembayaran?

    Pekeliling Perbendaharaan (PP) dan Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) yang boleh dirujuk adalah:

    Pekeliling Perbendaharaan Tadbir Urus Kewangan

    1. PS 2.1 - Terimaan Hasil Kerajaan Secara Elektronik di Terminal Point-of-Sale;

    2. PS 2.2 - Terimaan Kerajaan Secara Elektronik Melalui Portal Kementerian atau Jabatan;

    3. PS 2.3 - Terimaan Kerajaan Secara Elektronik Melalui Perbankan Internet dan Perbankan Mudah Alih;

    4. PS 2.7 – Terimaan Kerajaan Secara Elektronik Melalui E-dompet (E-wallet)

    5. Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bil. 4 Tahun 2018 – Garis Panduan Permohonan Pembangunan Sistem Perakaunan Kewangan Agensi Kerajaan;

    6. Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bil. 3 Tahun 2019 – Tatacara Pengurusan Terimaan;

    7. Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bil. 10 Tahun 2017 – Carta Akaun Asas Akruan;

    8. Garis Panduan Akauntan Negara Malaysia (GPANM) Bil 3 Tahun 2022 – Pengurusan Terimaan Kerajaan Secara Elektronik Melalui E-dompet (E-wallet);

    9. Pekeliling-pekeliling lain yang berkuatkuasa; dan

    10. www2.anm.gov.my/akruan.

  • Apakah pekeliling – pekeliling yang relevan dan boleh dirujuk oleh Kementerian / Jabatan bagi pembangunan sistem yang melibatkan pembayaran dan lain-lain yang berkaitan perakaunan dan kewangan?
    1. Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bil. 5 Tahun 2023 – Tatacara Pengurusan Bayaran dan Borang-borang; dan
    2. Manual Prosedur Kerja (MPK) yang berkaitan.
  • Berapakah tempoh masa yang diambil bagi mendapatkan kelulusan reka bentuk sistem daripada JANM?

    Permohonan akan diproses dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh permohonan lengkap diterima. Permohonan akan diperaku oleh Jawatankuasa Sistem Perakaunan Kerajaan Persekutuan (JKSPKP) dan diluluskan oleh Akauntan Negara Malaysia.

    Permohonan lengkap kelulusan reka bentuk hendaklah dikemukakan kepada BKP, JANM selewat-lewatnya tiga (3) minggu sebelum Mesyuarat JKSPKP diadakan.

  • Apakah tindakan seterusnya yang perlu diambil setelah mendapat kelulusan reka bentuk sistem?

    Kementerian/Jabatan Persekutuan perlu melaksanakan perkara berikut selepas kelulusan reka bentuk sistem perakaunan dan kewangan diperoleh daripada JANM iaitu:

    1. Mengemukakan permohonan kelulusan teknikal sistem (tertakluk kepada had amaun pekeliling yang berkuat kuasa).
    2. Memohon kelulusan format borang kewangan daripada Jawatankuasa Borang-Borang Kewangan, Perbendaharaan Malaysia.
    3. Merujuk kepada Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM), JANM bagi tujuan integrasi dengan iGFMAS (jika berkaitan).
    4. Mendapatkan kelulusan Bahagian Perkhidmatan Operasi Pusat dan Agensi (BPOPA), JANM untuk membuka Akaun Terimaan Kecil Perbendaharaan (ATKP) di Acquiring Bank yang dilantik (jika berkaitan).
  • Adakah Kementerian/Jabatan Persekutuan yang berhasrat untuk menambah saluran terimaan/menambah baik sistem sedia ada yang telah diluluskan perlu merujuk semula kepada JANM?

    Sebarang perubahan kepada reka bentuk dan prosedur kewangan yang telah diluluskan hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Khidmat Perunding, Jabatan Akauntan Negara Malaysia untuk kelulusan.

  • Bilakah Kementerian/Jabatan Persekutuan perlu mendapatkan kelulusan daripada JANM sekiranya bercadang untuk membangunkan sistem?

    Semua sistem yang melibatkan proses perakaunan dan kewangan perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

    Kementerian/Jabatan dikehendaki memohon kelulusan reka bentuk sistem daripada Bahagian Khidmat Perunding, Jabatan Akauntan Negara Malaysia terlebih dahulu sebelum perlantikan vendor dan pembangunan sistem dilaksanakan.

  • Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai permohonan kelulusan sistem, siapakah yang boleh dirujuk oleh Kementerian / Jabatan?

    Sekiranya terdapat pertanyaan, Kementerian / Jabatan bolehlah merujuk kepada Bahagian Akaun Kementerian/ Jabatan masing - masing atau menghubungi Bahagian Khidmat Perunding, Jabatan Akauntan Negara Malaysia seperti di bawah.

    Pengarah
    Bahagian Khidmat Perunding
    Jabatan Akauntan Negara Malaysia
    Aras 5, Perbendaharaan 2
    No. 7, Persiaran Perdana
    62594, Presint 2
    PUTRAJAYA

    u.p : Unit Kelulusan Persekutuan
    Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
    No. Telefon :03-8886 9546 / 9512 / 9602 / 9685 / 9618

  • Apakah syarat-syarat untuk mendapatkan kelulusan sebagai Juruaudit Syarikat?

    Syarat-syarat dan kelayakan yang ditetapkan bagi permohonan kelulusan Juruaudit Syarikat:

    1. berdaftar sebagai ahli MIA bertaraf Akauntan Bertauliah;
    2. warganegara atau pemastautin di Malaysia;
    3. bukanlah seorang yang bankrap yang belum dilepaskan sama ada di dalam atau di luar Malaysia;
    4. dalam tempoh lima (5) tahun sebelum permohonan dibuat tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, yang melibatkan fraud atau kecurangan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tiga (3) bulan atau lebih;
    5. tidak pernah ditolak keahlian atau digantung keahlian oleh manamana pertubuhan akauntan yang diiktiraf;
    6. tidak mempunyai sebarang tindakan penguatkuasaan atau undang-undang yang masih belum selesai terhadapnya di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 (“Akta SSM 2001”) atau mana-mana peruntukan Akta atau undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama kepada Akta SSM 2001;
    7. mempunyai Sijil Amalan (Practising Certificate) yang sah daripada MIA;
    8. permohonan kali pertama disyaratkan menghadiri Public Practice Programme yang dianjurkan oleh MIA dan sijil kehadiran tersebut hendaklah belum tamat tempoh semasa permohonan dibuat;
    9. mempunyai sekurang-kurangnya enam (6) tahun pengalaman kerja terkumpul secara sepenuh masa semasa permohonan dikemukakan termasuk sebelum dan selepas menjadi ahli MIA, iaitu:
      1. sekurang-kurangnya tiga (3) tahun selepas menjadi ahli MIA atau minimum dua (2) tahun selepas menjadi ahli MIA bagi pemohon yang sebelumnya bekerja di luar negara sekurang-kurangnya setahun;
      2. mempunyai sekurang-kurangnya lima (5) tahun dalam pengalaman audit di mana dua (2) tahun pengalaman audit terkini hendaklah dalam persekitaran di Malaysia;
      3. telah melaksanakan sekurang-kurangnya 7,500 jam audit dan 40 penglibatan audit penyata kewangan (audit of financial statements) dalam tempoh lima (5) tahun sebelum permohonan; dan
      4. telah bertugas sekurang-kurangnya 1,800 jam sebagai Penyelia Audit. (Penyelia Audit bermaksud mempunyai peranan pengurusan dalam menyelia, mengurus dan 6 mengawal penglibatan audit penyata kewangan termasuk perancangan audit dan penyediaan laporan audit).
  • Berapa lamakah tempoh menunggu untuk seseorang calon itu sebelum dipanggil untuk temuduga?

    Anggaran jangka masa dipanggil temuduga adalah dalam tempoh 1 bulan hingga 4 bulan. Jangka masa lebih pendek sekiranya terdapat kekosongan slot.

  • Siapakah panel temuduga dan apakah aspek-aspek yang diuji dalam sesi temuduga itu?

    Panel temuduga Juruaudit terdiri dari:

    1. Wakil Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) – Pengerusi
    2. Wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
    3. Wakil Institut Akauntan Malaysia (MIA)
    4. Wakil Suruhanjaya Sekuriti (SC)
    5. Wakil Bank Negara Malaysia (BNM)

    Skop Temuduga:-

    • MIA By–Laws, Akta Akauntan 1967
    • Akta Syarikat 2016, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013
    • piawaian pengauditan dan pelaporan kewangan
    • tadbir urus korporat
    • peraturan dan polisi yang diterbitkan oleh agensi kawal selia
  • Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya calon telah lulus temuduga?

    Pemohon perlu mengambil tindakan seperti berikut:

    1. Menjelaskan bayaran kelulusan sebanyak RM500.00/- melalui modul pembayaran elektronik BLESS.
    2. Mengemukakan satu (1) salinan pendaftaran firma juruaudit syarikat mengikut subseksyen 265 (1), Akta Syarikat 2016 atau salinan serah simpan di bawah subseksyen 265(4) Akta Syarikat 2016 bagi kemasukan rakan kongsi baharu yang diperakui oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum mendapatkan Sijil Kelulusan Juruaudit Syarikat.
  • Apakah tatacara untuk membuat permohonan kelulusan baharu Juruaudit Syarikat?

    Pemohon perlu melakukan perkara berikut:

    1. Pemohon perlu mendaftar dalam sistem BLESS melalui http://www.bless.gov.my/bless
    2. Pemohon mengemukakan permohonan untuk kelulusan Juruaudit Syarikat melalui sistem BLESS
    3. Muat naik salinan sijil yang berkaitan serta sijil amalan yang telah disahkan
    4. Muat naik surat penaja daripada pemegang lesen Juruaudit Syarikat yang sah
    5. Membuat pembayaran RM500 secara pembayaran elektronik setelah lulus temuduga
  • Apakah tatacara untuk membuat permohonan pembaharuan kelulusan Juruaudit Syarikat?

    Pemohon perlu melakukan perkara berikut:

    1. Pemohon perlu mendaftar dalam sistem BLESS melalui http://www.bless.gov.my/bless
    2. Pemohon mengemukakan permohonan untuk kelulusan Juruaudit Syarikat melalui sistem BLESS
    3. Muat naik Borang Akuan Berkanun ditandatangan oleh Pesuruhjaya Sumpah
    4. Muat naik salinan resit yuran tahunan semasa yang dibayar ke MIA
    5. Muat naik salinan resit yuran pembaharuan Sijil Amalan terkini yang dibayar kepada MIA
    6. Membuat pembayaran RM500 secara pembayaran elektronik
  • Bilakah permohonan pembaharuan kelulusan Juruaudit Syarikat perlu dikemukakan melalui BLESS?

    Pemohonan perlu dikemukakan dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan.

  • Apakah tindakan yang harus diambil sekiranya kelulusan Juruaudit telah tamat tempoh?
    1. Sepanjang tempoh kelulusan tidak diperbaharui, juruaudit tidak boleh bertindak sebagai juruaudit dan tidak boleh menandatangani sebarang laporan audit.
    2. Sekiranya permohonan pembaharuan dikemukakan selepas dari tarikh tamat tempoh kelulusan terdahulu, tempoh kelulusan baharu tidak akan bersambung. Tarikh kelulusan baharu adalah berdasarkan tarikh pembaharuan kelulusan diberikan.
    3. Sekiranya permohonan pembaharuan gagal dikemukakan dalam tempoh satu (1) tahun selepas tamat tempoh kelulusan terdahulu, pemohon hendaklah mengemukakan permohonan baharu sebagai juruaudit syarikat dan hendaklah menjalani sesi temuduga baharu.
 

Hubungi Kami

Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)
Aras 1-8, Kompleks Kementerian Kewangan,
No. 1, Persiaran Perdana, Presint 2,
62594 Putrajaya.
    +603-8882 1000
    +603-8889 5821
    korporat[at]anm[dot]gov[dot]my

Waktu Urusan Kaunter JANM Putrajaya
Isnin - Khamis : 8.30 pagi - 5.00 petang
(Rehat : 1.00 - 2.00 petang)
Jumaat : 8.30 pagi - 5.00 petang
(Rehat : 12.15 tengah hari - 2.45 petang)
Sabtu, Ahad & Cuti Umum : Tutup