Apabila saya mengunjungi LHDN cawangan terdekat bertanyakan PCB bulanan yang dipotong melalui gaji bulanan, saya mendapati amaun yang sepatutnya dipotong adalah tidak sama seperti yang dikira oleh pihak LHDN, apakah perlu saya lakukan?
Perkara ini akan berlaku apabila data yang diberi oleh pegawai kepada pihak LHDN tidak sama dengan data di dalam sistem Pengurusan Gaji JANM. Pegawai adalah dinasihatkan untuk mengemaskini maklumat peribadi masing masing dengan mengisi Borang Mengemaskini Maklumat Peribadi Bagi Tujuan Pengiraan PCB (Lampiran A) serta mengemukakan dokumen sokongan kepada Unit Kewangan/Gaji tempat pegawai bertugas bagi membolehkan pihak JANM mengemasikini data tersebut di dalam sistem Pengurusan Gaji. Pegawai boleh menyemak sama ada data maklumat peribadi yang terdapat di sistem Pengurusan Gaji telah dikemaskini melalui pejabat atau sekolah masing-masing.
Apabila saya membandingkan pendapatan yang saya perolehi dengan rakan sekerja yang mendapat jumlah pendapatan yang sama dengan saya, saya dapati PCB yang dipotong melalui gaji bulanan kami adalah berbeza, mengapa perkara ini berlaku?
Terdapat beberapa aspek yang menyebabkan perbezaan pengiraan PCB ini berlaku, antaranya adalah status perkahwinan, bilangan tanggungan, jumlah potongan zakat, jumlah caruman KWSP dan sebagainya yang terdapat di dalam sistem Pengurusan Gaji JANM bagi seseorang pegawai dengan pegawai yang lain adalah berbeza. Maklumat peribadi yang berbeza antara pegawai akan menyebabkan potongan PCB pegawai berbeza walaupun mendapat jumlah saraan yang sama.
Bolehkah pihak JANM tidak memotong PCB melalui gaji bulanan pegawai?
Rujuk kepada subseksyen 107(2) Akta Cukai Pendapatan 1967. Adalah menjadi tanggungjawab majikan memotong PCB daripada saraan setiap pekerja pada setiap bulan mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau Kaedah Pengiraan Berkomputer dan membayar kepada Ketua Pengarah LHDN.
Adakah saya layak dikenakan cukai?
Individu perlu mendaftar nombor cukai pendapatan sekiranya:
- Individu berstatus bujang yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM34,001 setahun (selepas potongan KWSP)
- Individu berkahwin dan pasangan tidak bekerja yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM46,001 setahun
- Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun perniagaan mengalami kerugian)
- Pekerja baharu yang dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB)
- Individu yang mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai
- Individu yang menjual/membeli hartanah
Apakah yang dimaksudkan dengan saraan tambahan?
Saraan tambahan merupakan saraan yang diterima selain daripada saraan bulanan biasa (Bonus, Tunggakan, Komisen, Ganjaran, Pampasan, Yuran pengarah, Bayaran kerja lebih masa (OT) dan Lain-lain)
Saya mendapat kenaikan gaji tahunan sebanyak RM155 pada bulan Oktober, kenapa PCB saya naik mendadak?
Biasanya ini adalah kes borderline dari kadar cukai 3% ke 6%. Ini menyebabkan kenaikan PCB pada bulan tersebut dan kadar cukai akan kekal 6% pada bulan-bulan seterusnya sekiranya tiada perubahan saraan, potongan dan rebat.
Rebat Cukai Individu sebanyak RM400 juga tidak layak setelah kadar cukai berubah ke 6%. Sila rujuk Jadual Kadar Cukai Pendapatan di portal LHDN https://www.hasil.gov.my/individu/kitaran-cukai-individu/lapor-pendapatan/kadar-cukai/ .
Apakah maksud CP38?
PCB merupakan potongan cukai berdasarkan Jadual PCB ke atas saraan pekerja yang layak dan diremitkan ke LHDNM setiap bulan, manakala potongan CP38 pula hanya boleh dilakukan sekiranya LHDNM telah mengeluarkan arahan khusus kepada majikan supaya membuat potongan untuk amaun tertentu dalam bulan-bulan yang tertentu. Potongan CP38 adalah untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak manakala PCB adalah untuk membayar anggaran cukai bagi taksiran tahun semasa.